Mahu pinjam RM15,000 tapi rugi RM23,950

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Dua individu rugi sebanyak RM44,948 selepas diperdaya sindiket penipuan penipuan pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud pada Disember tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa pertama berusia 41 menetap di Raub kerugian RM23,950 selepas mahu membuat pinjaman sebanyak RM15,000 pada 14 Disember tahun lalu.

"Mangsa berminat untuk membuat pinjaman selepas melihat iklan di laman sosial Facebook dan menyerah semua maklumat peribadi seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, bil air dan maklumat CTOS bagi tujuan itu.

"Suspek kemudian bersetuju dan memberi pinjaman selama empat tahun dengan kadar bayaran bulanan RM362, namun mangsa diminta membuat pembayaran duti setem, surat perjanjian dan proses penerimaan wang pinjaman," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ramli berkata, berdasarkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub, mangsa telah membuat 11 kali transaksi membabitkan jumlah RM23,950 kepada 11 akaun bank berbeza.

Dalam kejadian lain beliau berkata, mangsa berumur 43 tahun melihat satu iklan di Facebook pelaburan Amundi pada 28 Disember tahun lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian menekan capaian yang diberikan dan berminat untuk menyertai pelaburan itu menerusi pakej asas iaitu mengeluarkan wang modal dana sebanyak RM600.

"Menerusi pengeluaran modal itu, mangsa akan mendapat pulangan sebanyak RM8,500 dalam tempoh selama tiga hari.

"11 Januari lalu, mangsa telah membuat enam kali transaksi yang berjumlah keseluruhan RM21,034 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek, namun sehingga kini tidak memperolehi sebarang pulangan," jelasnya yang memaklumkan mangsa membuat laporan di IPD Kuantan.

Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," kata beliau.