Rafiq congak kejayaan dunia

Rafiq memasang impian besar untuk muncul juara dunia. - Foto FB Bowling Malaysia.
Rafiq memasang impian besar untuk muncul juara dunia. - Foto FB Bowling Malaysia.
A
A
A

SETELAH membantu skuad boling menamatkan 15 tahun kemarau emas acara lelaki lima berpasukan di peringkat Asia, jaguh negara Muhammad Rafiq Ismail mula mencongak kejayaan yang lebih besar di peringkat dunia.

Kejayaan pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) di Hong Kong baru-baru ini menjadi batu lonjatan buat Rafiq untuk memburu kejuaraan acara berpasukan di Kejohanan Dunia di Kuwait akhir tahun ini.

Pemain berusia 25 tahun itu optimis dengan sasaran tersebut berdasarkan barisan pemain terbaik yang dimiliki negara ketika ini.

“Ini adalah kejayaan terbesar kerana dapat menamatkan kemarau pingat emas selepas 15 tahun. Ia adalah sasaran yang sudah lama kita impikan. Kami sangat gembira kerana berjaya melakukan tugasan dengan baik.

“Saya dan rakan sepasukan perlu bekerja keras dan percaya kami mampu mengekalkan momentum ini sehingga kejohanan itu nanti,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Hong Kong pada malam Khamis.

Rafiq dan rakan sepasukan Syafiq Ridhwan, Syazirol Shamsudin, Tun Hakim, Timmy Tan dan Ahmad Muaz berjaya meraih pingat emas dengan melakukan 7,323 jatuhan pin selain Rafiq juga cemerlang meraih emas dalam acara masters.

Selain itu skuad lelaki negara turut memenangi emas acara All Events sekali gus menutup cabaran di Hong Kong dengan empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.

Secara keseluruhan Rafiq berpuas hati dengan pencapaian peribadi dan pasukan di Hong Kong dan selepas ini akan kembali fokus kepada kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada April.

Beliau berkata, bagi Kejohanan Dunia di Kuwait nanti acaranya berbeza kerana ia melibatkan empat berpasukan dan bukannya lima berpasukan seperti di Hong Kong.

“Ia agak berbeza... (tetapi) saya percaya momentum kami akan kekal sehingga kejohanan tersebut.

“Semasa acara berpasukan di Kejohanan Dunia 2021 di Dubai, kami hanya dapat gangsa. Kali ini kami nak menang dan saya yakin boleh dapat emas,” katanya.