Dr Ismail, Asmirul Anuar terajui Amanah Kedah

Asmirul Anuar Aris, Datuk Dr Ismail Salleh
Asmirul Anuar Aris, Datuk Dr Ismail Salleh
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh dilantik sebagai Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Kedah baharu pada mesyuarat khas penggantian pimpinan negeri itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Speaker Amanah Nasional,Yuhaizad Abdullah pada 14 Januari lalu turut melantik bekas Setiausaha Amanah negeri yang juga ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris sebagai Timbalan Pengerusi Amanah negeri Kedah baharu.

Mesyuarat khas tersebut diadakan selepas bekas pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dipecat selepas terbuka membantah keputusan Amanah Nasional menukar kerusi Parlimen Jerai, Kedah dengan kerusi Parlimen Alor gajah, Melaka pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Pemimpin itu dipecat kerana mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti selain keputusan itu dibuat selepas rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH).

Parlimen Jerai diberikan kepada Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff namun tewas manakala Parlimen Alor Gajah ditandingi Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari dan beliau berjaya menawan kerusi parlimen tersebut.

Mesyuarat khas juga melantik ketua pemuda Amanah negeri Kedah baharu, Razis Hassan selepas penyandangnya, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad bersama beberapa ahli jawatankuasa pemuda negeri melepaskan jawatan pada tahun lalu.

Bekas calon PRU15 Amanah Parlimen Padang Terap, Muaz Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemudanya sementara Naib Ketua Pemuda I adalah Mohd Zulfadli Hussin manakala Mohd Zawawi Mat Isa pula sebagai Naib Ketua Pemuda II.

Sementara itu, Razis berkata, Pemuda Amanah Kegeri Kedah bersedia menjadi medium terbaik buat seluruh anak muda Kedah di samping menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) yang bakal dipanggil pada bila-bila masa sahaja.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka mengalu-alukan kerjasama semua pihak dalam usaha memenangi hati golongan muda seterusnya menarik sokongan kepada parti tersebut.

"Dengan kapasiti yang ada akan dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam memikul tanggungjawab serta amanah yang diberikan. Sebarang cadangan serta kritikan membina kearah kebaikan amatlah kami hargai dan raikan," katanya dalam satu kenyataan.