Jumpa bangkai, najis tikus di dapur premis makanan

Nor Azimi ketika memeriksa premis makanan dalam operasi Mega Bersepadu Perundangan Kesihatan Awam di daerah Kuantan pada Jumaat.
Nor Azimi ketika memeriksa premis makanan dalam operasi Mega Bersepadu Perundangan Kesihatan Awam di daerah Kuantan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Najis dan bangkai tikus antara yang ditemui di dapur beberapa premis makanan di sekitar Indera Mahkota dalam operasi mega bersepadu perundangan kesihatan pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, dalam pemeriksaan itu, tiga premis makanan yang didapati tidak mengamalkan kebersihan diarah tutup.

Tegasnya, tindakan terbabit dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1985 bagi membolehkan pengusaha premis menjalankan kerja pembersihan.

"Dalam operasi ini, kita temui najis, bangkai dan tempat pembiakan tikus di beberapa premis makanan.

"Malah, ada juga peti sejuk yang tidak berfungsi dengan baik dan pinggan mangkuk yang didapati sumbing serta retak.

"Berdasarkan penilaian tahap kebersihan, ia di bawah 50 peratus iaitu antara 45 dan 49 peratus.," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Mega Bersepadu Perundangan Kesihatan Awam di daerah Kuantan pada Jumaat.

Operasi dua hari itu bermula Jumaat melibatkan 135 anggota penguat kuasa JKN Pahang, pejabat kesihatan daerah serta Sektor Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Nor Azimi menjelaskan arahan penutupan premis dikeluarkan selama 14 hari berkuat kuasa pada Jumaat.

Katanya, bagaimanapun, pemilik premis boleh membuka premis mereka lebih awal dan perlu mendapat pengesahan daripada JKN selepas mengikut arahan pembersihan.

"Lapan kompaun dikeluarkan di tiga premis terbabit atas pelbagai kesalahan," tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, Nor Azimi berkata, sebanyak 19 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang merokok di kawasan larangan seperti di premis makanan.

Menurutnya, kompaun dikeluarkan di atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Kita mahu memastikan pematuhan terhadap peraturan kesihatan awam dengan penumpuan di kawasan industri, premis perniagaan, premis makanan yang berisiko dan kawasan tumpuan awam," ujarnya.