Shalin puji aksi cemerlang skuad boling lelaki negara

 Shalin Zulkifli. - Foto Agensi
Shalin Zulkifli. - Foto Agensi
A
A
A

BEKAS ratu boling negara Shalin Zulkifli memuji aksi cemerlang skuad boling lelaki negara yang bukan sahaja mengakhiri penantian selama 15 tahun untuk muncul juara acara lima berpasukan malah turut menyapu bersih acara All Event di Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) di Hong Kong, baru-baru ini.

Bekas pemain nombor satu Asia itu berkata, kemenangan anak buah Ben Heng itu membuktikan prestasi mereka berada pada tahap terbaik berbanding penampilan di Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2022 di Queensland, Australia tahun lepas yang kurang menyerlah.

"Macam sebelum ini, kita memang tahu skuad boling lelaki bagus cuma mereka berdepan laluan sukar untuk menang emas, jadi kali ini di Hong Kong, mereka semua pertajamkan skil permainan untuk tamatkan penantian 15 tahun, jadi memang sangat bagus.

"Mungkin prestasi skuad wanita kurang memberangsangkan kerana sudah lama tiada Kejohanan Tenpin Boling Asia," katanya.

Shalin, 44, mengakui kemenangan jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail sudah dapat dijangka, apabila pemain nombor satu Asia itu bertindak cemerlang mengetuai cabaran negara dengan membawa pulang empat pingat emas.

Pada aksi berlangsung di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan di Hong Kong baru-baru ini, acara trio dibarisi Muhammad Rafiq, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan mempamerkan aksi cemerlang selepas melakukan 4,677 jatuhan pin sekali gus menidakkan kemaraan trio Korea Selatan.

Muhammad Rafiq bersama rakan sepasukan Syafiq Ridhwan, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim, Timmy dan Ahmad Muaz, seterusnya meraih pingat emas acara lelaki lima berpasukan dengan melakukan 7,323 jatuhan pin.

Atlet kelahiran Selangor itu turut beraksi cemerlang mengungguli acara Masters lelaki selain skuad negara menyapu bersih acara All Event lelaki dengan beliau membuat jatuhan pin tertinggi sebanyak 6,128 bagi meraih emas.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menutup cabaran di Hong Kong dengan membawa pulang empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.

Shalin bagaimanapun memaklumkan tiada kejohanan terdekat buat skuad negara apabila sukan berkenaan tidak dipertandingkan di Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China. - Bernama