Ops Selamat 19: Maklum polis jika tinggalkan rumah

Hasmerra memberi maklumat kempen Ops Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina kepada pengguna jalan raya di Ajil pada petang Khamis.
Hasmerra memberi maklumat kempen Ops Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina kepada pengguna jalan raya di Ajil pada petang Khamis.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Orang ramai yang mahu meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung atau bercuti sempena Tahun Baharu Cina disarankan supaya memaklumkan kepada polis bagi mengelak kejadian curi dan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan berkata, makluman boleh dibuat dengan mengisi borang 'balik kampung' di mana-mana balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

"Setiap makluman direkodkan secara terperinci dan cawangan kereta peronda (MPV), unit ronda bermotosikal (URB) akan membuat rondaan secara berkala serta konsisten di kawasan perumahan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan kempen Ops Selamat 19 Sempena Tahun Baharu Cina di Ajil di sini pada petang Khamis.

Hasmerra (dua dari kiri) memaklumkan maklumat tentang kempen Ops Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina kepada penunggang motosikal di Ajil pada petang Khamis.
Hasmerra (dua dari kiri) memaklumkan maklumat tentang kempen Ops Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina kepada penunggang motosikal di Ajil pada petang Khamis.

Menurut Hasmerra, selain memantau kediaman penduduk, pihaknya juga akan meningkatkan rondaan di jalan raya bagi memastikan aliran trafik di daerah ini lancar susulan peningkatan sekali ganda jumlah kenderaan sempena cuti perayaan.

Beliau berkata, terdapat dua lokasi 'hotspot' yang dikenal pasti sering berlaku kesesakan iaitu persimpangan lampu isyarat majlis daerah dan persimpangan lampu isyarat Paya Besar.

"Kita juga mengenal pasti tiga lokasi kerap kali berlaku kemalangan iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kilometer 381.2 Ajil-Bukit Besi, jalan Kuala Terengganu - Bukit Besi di Tok Randok dan jalan Gaung-Kuala Ping-Teris.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan polis trafik bergerak akan meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan hotspot ini supaya aliran trafik lancar selain mengelak berlakunya kemalangan.

"Selepas dua hari Ops Selamat 19 dilancarkan, kita belum merekodkan kes kemalangan serius dan saya harap perkembangan ini dapat dikekalkan sehingga kempen ini berakhir," katanya.