Tandas bersih atau kotor jadi cerminan sebenar masyarakat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mahu kebersihan tandas awam berada pada tahap yang terbaik.

Malah, beliau tidak kisah jika ada pihak akan menggelar dirinya sebagai Menteri Tandas asalkan dapat menyelesaikan isu yang dekat di hati rakyat itu.

Kor Ming menjelaskan usaha tersebut dibuat kerana ia adalah cerminan kemajuan sesebuah negara dan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Sehubungan itu, kementeriannya telah memperkenalkan anugerah ‘Toilet of the Year’ untuk pastikan tandas awam negara kita menuju ke arah B.M.W. (Bersih, Menawan, Wangi).

Merak Jalanan memang setuju sangat dengan langkah yang hendak dilakukan oleh pihak kementerian berkenaan.

Pengalaman menggunakan tandas awam di negara ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan dan amat mengerikan kepada kita semua.

Lebih menyedihkan tahap kebersihan tandas di masjid dan surau juga sesuatu yang perlu diberikan perhatian.

Merak Jalanan bukanlah hendak membuka aib dan keburukan sikap umat Islam di negara ini tetapi itulah hakikat yang kita kena terima.

Artikel Berkaitan:

Islam amat menitikberatkan soal kesucian dalam kehidupan kita namun tidak menjadi amalan dalam kehidupan ummah.

Justeru, kalau ada pihak yang benar-benar melihat kebersihan tandas sebagai satu isu utama, maka ia perlu diberikan perhatian kepada kita semua untuk melakukan perubahan ke arah masyarakat minda kelas pertama.

Masyarakat yang mementingkan kebersihan adalah satu cerminan bahawa mereka bukan sahaja berdisiplin tinggi, malah mempunyai sikap tertib dan terpuji dalam diri.

Sehubungan itu, Merak Jalanan mencadangkan agar inisiatif tandas bersih, menawan dan wangi dapat diperluaskan lagi di semua peringkat kementerian.