Dua kertas siasatan dibuka kes pelajar dipukul

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai rakaman video tular memaparkan sekumpulan pelajar lelaki memukul rakannya dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai rakaman video tular memaparkan sekumpulan pelajar lelaki memukul rakannya dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis mengesahkan telah menerima dua laporan polis berhubung kejadian pergaduhan melibatkan pelajar di sebuah sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, laporan polis itu dibuat susulan tularnya video di media sosial membabitkan dua insiden pergaduhan di mana pelajar ditumbuk dan ditendang oleh rakan sekolah yang berlaku baru-baru ini.

"Laporan dibuat pada Selasa lalu oleh dua pelajar yang ditumbuk oleh suspek yang sama.

"Sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

"Namun siasatan diteruskan dan tangkapan hanya akan dibuat selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan jenayah dalam kalangan pelajar termasuk kes mendatangkan kecederaan dan juga kes buli," tegasnya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan rakaman video tular di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki sedang memukul rakannya dipercayai berlaku di sebuah sekolah di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Menerusi rakaman klip video berdurasi 23 saat yang tersebar di di media sosial, kelihatan mangsa cuba mempertahankan diri daripada ditumbuk dan diserang oleh sekumpulan pelajar.