Mayat wanita ditemui dalam semak

Polis sedang menyiasat penemuan mayat di lokasi kejadian.
Polis sedang menyiasat penemuan mayat di lokasi kejadian.
A
A
A

MARANG - Mayat seorang wanita tanpa pengenalan diri ditemui dalam kawasan semak di tepi jalan Kampung Alor Gali menghala ke Wakaf Tapai di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat itu pada jam 2.30 petang oleh individu yang sedang mencari daun palas di tempat kejadian.

Menurutnya, pasukan polis telah ke lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati tiada kesan pergelutan dan tompokan darah ditemui di kawasan mayat berkenaan dijumpai.

"Pemeriksaan pada badan mayat oleh pasukan forensik juga mendapati tiada sebarang kesan tikaman, tetakan atau kelar. Barang kemas mangsa seperti cincin dan rantai juga masih ada.

"Buat masa ini, tiada bukti fizikal dan petunjuk yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan kes disiasat sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mohd Zain berkata, mayat mangsa masih belum dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang pengenalan diri dijumpai.

Katanya, mayat mangsa berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an ditemui memakai seluar panjang berwarna hitam, baju lengan panjang warna merah jambu.

"Sekiranya ada pihak yang kehilangan ahli keluarga wanita boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di talian 09-6182222," katanya.

Artikel Berkaitan: