Mayat bertatu ditemui terapung

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

BAGAN SERAI - Mayat seorang lelaki hampir reput ditemukan terapung di tasik Bukit Merah di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat awal diterima sekitar jam 3.30 petang melibat mayat tanpa identiti.

"Bertindak atas maklumat itu, pihak polis dibantu pasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian dan menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap dengan keadaan fizikalnya menggelembung serta mereput.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mayat terbabit mempunyai kesan tatu di kedua-dua bahu dan lengan kanan serta terdapat tulisan 'ushra' pada lengan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, siasatan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian mendapati tiada unsur perlakuan jenayah dikesan di tempat kejadian.

"Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik, Hospital Parit Buntar dan kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Bagaimanapun orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05-721222 bagi membantu siasatan," katanya.