[VIDEO] Semakan hukuman Najib bersambung 20 Februari depan

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis menetapkan prosiding pendengaran semakan sabitan dan hukuman kes SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 20 Februari depan.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan tarikh itu selepas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, memberitahu, masih banyak hujahan mahu dikemukakan sedangkan masa yang ada adalah agak singkat.

"Kita akan sambung semula pada 20 hingga 22 Februari depan," kata hakim itu.

Selain Abdul Rahman, turut bersidang ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Sementara itu, semasa hujahan, Muhammad Shafee berkata, permohonan penangguhan oleh peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika merayu bagi pihak Najib adalah munasabah.

Menurutnya, secara amalan, ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk mahkamah memberikan penangguhan atas dasar peguam itu baharu dilantik.

Malah katanya, pihak pendakwaan sendiri tidak membantah permohonan penangguhan itu.

"Mungkin kerana, pendakwaan sendiri menyedari kewajaran permohonan penangguhan oleh pasukan peguam dan peguam cara baharu, berdasarkan pengalaman mereka sendiri dalam pelbagai kes di mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, agak pelik apabila Mahkamah Persekutuan tidak memberikan penangguhan antara tiga ke empat bulan bagi membolehkan peguam cara dan peguam bela baharu bersedia dengan baik," katanya.

Beliau berkata, tiada dakwaan atau terbukti bahawa permohonan penangguhan itu adalah satu muslihat untuk melengah-lengahkan prosiding.

Katanya, timbul kecurigaan apabila Mahkamah Persekutuan tergesa-gesa untuk menyelesaikan prosiding rayuan itu sebelum memutuskan keputusan.

Pada 18 Ogos tahun lalu, ketika rayuan akhir kes SRC, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib jika penangguhan prosiding tidak dibenarkan.

Beliau sebelum itu sekali lagi merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam utama Najib itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan, ketika membacakan keputusan berkata, mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk menolak permohonan berkenaan.

Katanya, tindakan peguam menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.