EU rekod angka jualan kereta tahunan paling rendah sejak 1993

Pendaftaran kereta baharu EU lebih rendah tahun lepas, dan secara keseluruhannya paling rendah sejak hampir 30 tahun lalu. - Foto hiasan
Pendaftaran kereta baharu EU lebih rendah tahun lepas, dan secara keseluruhannya paling rendah sejak hampir 30 tahun lalu. - Foto hiasan
A
A
A

BRUSSELS - Pendaftaran kereta baharu Kesatuan Eropah (EU) lebih rendah tahun lepas, dan secara keseluruhannya paling rendah sejak hampir 30 tahun lalu.

Ini berlaku walaupun lonjakan kukuh pada Disember di pasaran Jerman dan Itali, menurut Persatuan Pengilang Automobil Eropah (ACEA) pada Rabu.

Tahun lepas, 9.26 juta kereta penumpang didaftarkan, kurang 4.6 peratus daripada angka 2021, lapor agensi berita Jerman dpa.

Angka Disember meningkat sedikit dengan peningkatan 12.8 peratus menjadikan jumlahnya 896,967.

Di Jerman, tempoh subsidi untuk hibrid plug-in yang tamat pada akhir tahun serta penurunan premium bagi pembelian kereta berkuasa bateri, mendorong jualan pada Disember.

Dalam pasaran kereta terbesar EU, pendaftaran kereta meningkat sedikit tahun ini secara keseluruhannya di Jerman dengan kenaikan 1.1 peratus, manakala Itali menunjukkan penurunan 9.7 peratus dan jualan kereta Sepanyol turun 5.4 peratus.

Pengeluar kereta di Eropah merungut terutama mengenai bekalan alat ganti yang tidak mencukupi, termasuk cip elektronik.

Volkswagen terus menjadi peneraju pasaran di EU, dengan lebih 1 juta kereta terjual.

Artikel Berkaitan:

Dengan kira-kira 2.3 juta kereta, Kumpulan VW secara keseluruhannya juga mendahului Peugeot, Fiat dan Opel Stellantis (1.8 juta kereta).

Kumpulan Renault berada di tempat ketiga dengan 985,000 kereta. BMW dan semua jenamanya mendaftarkan 624,940 kenderaan baharu manakala Mercedes-Benz sebanyak 549,023 unit. - Bernama