Jawatankuasa Sosial akan diperhalusi - Ahmad Zahid
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memperhalusi penubuhan Jawatankuasa Sosial secepat mungkin.
Ini kerana menurut beliau, jawatankuasa itu turut melibatkan isu-isu yang terkait dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menurutnya, terdapat beberapa isu lain berkaitan kanak-kanak masih lagi berlegar dan belum mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Ahmad Zahid berkata, pelantikan beliau sebagai pengerusi jawatankuasa itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar memandangkan isu penderaan kanak-kanak belum dapat dituntaskan.
"Saya melihat pelantikan ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar memandangkan isu penderaan kanak-kanak belum dapat dituntaskan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Ahmad Zahid, jawatankuasa tersebut juga diharap boleh bertindak sebagai badan penyelia mengenai perkara berkaitan pendidikan, hak dan jenayah terhadap kanak-kanak.
"Permasalahan kanak-kanak yang berbapakan atau beribukan warga asing akan turut ditangani oleh jawatankuasa ini dengan pelaksanaan dalam kadar segera oleh Kementerian Dalam Negeri.
"Ini juga merupakan satu lagi usaha di bawah Kerajaan Perpaduan yang prihatin untuk memberi pelindungan kepada kanak-kanak yang tidak sah taraf," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet mengumumkan Ahmad Zahid akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut.
Mesyuarat turut memutuskan Pesuruhjaya Kanak-Kanak akan dilantik menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkuat kuasa serta-merta dalam usaha menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan kanak-kanak.
Pelantikan pesuruhjaya itu merupakan satu cabang khas yang mempunyai autonomi di bawah Suhakam.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan sebelum ini agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak akhirnya bakal diwujudkan melalui penggubalan satu akta yang baharu," tambah Ahmad Zahid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!