Geng Kecik aktif curi motosikal tumpas

Mohd Haki (tengah) menunjukkan motosikal yang dicuri tiga suspek dalam dua serbuan berasingan sekitar Tanah Merah pada Selasa dan Rabu lalu.
Mohd Haki (tengah) menunjukkan motosikal yang dicuri tiga suspek dalam dua serbuan berasingan sekitar Tanah Merah pada Selasa dan Rabu lalu.
A
A
A

TANAH MERAH - Polis Tanah Merah menumpaskan ahli Geng Kecik Batang Merbau yang dipercayai aktif mencuri motosikal dan memiliki peralatan curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, tiga ahli geng itu ditahan dalam serbuan berasingan pada Selasa dan Rabu lalu.

Menurut beliau, polis turut merampas empat motosikal iaitu dua jenis Honda EX5 dan dua lagi Yamaha 125Z dipercayai dicuri di mana salah satu daripadanya dari Kuantan, Pahang.

"Suspek pertama ditahan pada Selasa kira-kira jam 2.30 petang di tepi jalan Kampung Air Laka Batang Merbau, Tanah Merah.

"Pemeriksaan menemui beberapa peralatan disyaki untuk mencuri motosikal," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada Rabu.

Mohd Haki berkata, penganggur berusia 27 tahun itu mengaku mencuri tiga motosikal di kawasan Tanah Merah dan Batang Merbau serta Kuantan, Pahang bersama empat rakan lain.

"Suspek juga didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat, polis menahan dua lagi rakan suspek berusia 23 dan 29 tahun serta merampas empat motosikal yang disyaki dicuri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan mendapati tiga daripada motosikal itu berkaitan dengan kes kecurian di Tanah Merah dan satu lagi di Kuantan, Pahang.

"Suspek berusia 23 tahun tidak bekerja tetapi tiada rekod lampau, manakala suspek berusia 29 tahun merupakan peniaga dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

"Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki barang secara haram dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal," katanya.

Tambah beliau, polis berjaya menyelesaikan tiga kes curi motosikal di Tanah Merah dan satu di Kuantan melalui tangkapan kesemua suspek itu.