Ops Lejang: Dua geng aktif curi motosikal akhirnya tumpas

Mohd Iqbal (tengah) melihat motosikal curi yang berjaya ditemukan selepas penahanan sembilan suspek daripada Geng Daus dan Geng Hafiz selepas sidang akhbar di IPD Shah Alam pada Jumaat.
Mohd Iqbal (tengah) melihat motosikal curi yang berjaya ditemukan selepas penahanan sembilan suspek daripada Geng Daus dan Geng Hafiz selepas sidang akhbar di IPD Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan dua kumpulan mencuri motosikal yang aktif di Klang, Shah Alam dan Banting, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, menerusi enam serbuan Ops Lejang yang dijalankan sejak awal Mei lalu, pihaknya menahan sembilan suspek berusia 24 hingga 33 tahun.

Menurutnya, dua kumpulan terbabit yang dikenali sebagai Geng Daus dan Geng Hafiz dipercayai aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal sejak awal tahun ini.

"Kesemua yang ditahan mempunyai pelbagai kesalahan jenayah selain terlibat dalam kegiatan dadah. Salah seorang daripada suspek berusia 33 tahun masih lagi berstatus 'wanted' (dikehendaki) bersabit kesalahan dadah di Banting.

"Tangkapan sembilan suspek terbabit dibuat di sekitar Shah Alam dan Klang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Jumaat.

Menerusi serbuan terbabit, Mohd Iqbal berkata, pihaknya merampas 13 buah motosikal, dua bongkah enjin motosikal yang telah diganggu, dua kulit enjin motosikal yang telah diganggu serta komponen motosikal dileraikan.

Mohd Iqbal (duduk, kanan) memeriksa keadaan motosikal yang berjaya ditemukan selepas sidang akhbar di IPD Shah Alam pada Jumaat.
Mohd Iqbal (duduk, kanan) memeriksa keadaan motosikal yang berjaya ditemukan selepas sidang akhbar di IPD Shah Alam pada Jumaat.

Beliau berkata, dua geng terbabit menyasarkan motosikal yang tidak berkunci dan tidak mempunyai kunci pendua yang berada di kawasan parkir awam, pangsapuri, flat serta pasar raya yang tidak mempunyai kawalan keselamatan.

Tambahnya, selain akan menjual motosikal yang dicuri, kumpulan terbabit juga akan meleraikan komponen sebelum dijual kepada pihak-pihak tertentu.

"Modus operandi (MO) mereka adalah mematahkan handle motosikal dengan menggunakan sepana 'T' yang telah diubah suai, selain melakukan penyambungan wayar bagi menghidupkan enjin.

"Apabila berjaya melakukan dua taktik mencuri terbabit, suspek akan menunda motosikal yang dicuri ke satu kawasan tersorok termasuk semak bagi meleraikannya," katanya.

Mohd Iqbal berkata, sekiranya terdapat bahagian motosikal curi yang tidak dipakai, kumpulan tersebut akan membuangnya ke dalam sungai dan parit.

Katanya, nilai rampasan bagi Ops Lejang terbabit dianggarkan lebih RM20,000 dan pihaknya yakin berjaya menyelesaikan 20 kes jenayah curi motosikal di kawasan pentadbiran IPD Shah Alam.