'Saya bukan wira, ada lagi orang bantu saya'

Suzaini (Gambar kecil) membantu menyelamatkan seorang mangsa kemalangan di Tasik Merdeka, Batu Pahat.
Suzaini (Gambar kecil) membantu menyelamatkan seorang mangsa kemalangan di Tasik Merdeka, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT – “Saya bukan wira, sebab ada lagi orang awam yang bantu saya,”

Itu respons ringkas Suzaini Mohd Hadali, 43, susulan tindakan beraninya menyelamatkan seorang mangsa kemalangan di Tasik Merdeka di sini, menjadi bualan apabila tular di media-media sosial.

Menurut Suzaini yang lebih mesra disapa Jai, dia sebenarnya agak terkejut apabila dimaklumkan berhubung perkara berkenaan hari ini (Rabu), usaha menyelamatkan mangsa-mangsa kemalangan berkenaan sebenarnya turut melibatkan dua individu lain.

Justeru katanya, kedua-dua individu berkenaan juga layak dilabel selaku wira kerana telah sama-sama membantu menyelamatkan dua lagi mangsa kemalangan berkenaan.

“Saya tak nak saya seorang sahaja (dilabel) wira... saya pun tak suka ditularkan, saya malu kerana saya hanya selamatkan seorang mangsa (lelaki) dan bawa dia ke tebing (darat)... setelah itu ada lagi dua orang awam yang bantu saya.

“Kami kemudiannya telah sama-sama membantu menghulurkan kayu kepada dua lagi mangsa iaitu dua perempuan yang berjaya keluar dari kereta berkenaan dan ditarik ke tebing.

“Oleh itu, bukan saya sahaja yang selamatkan mereka semua... rasanya mustahil juga sebab tasik tu memang agak dalam... kalau tak silap saya tasik itu juga sebenarnya lombong tinggal,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Rabu, tular mengenai kisah Suzaini yang dikatakan bertindak berani memasuki tasik berkenaan bagi menyelamatkan seorang mangsa daripada kereta yang sedang tenggelam di tasik berkenaan biarpun keadaan ketika itu agak berisiko.

Artikel Berkaitan:

Menurut Jai, susulan insiden berkenaan yang tular di laman-laman sosial, dirinya tidak putus-putus dihubungi oleh pihak seperti bomba, pejabat daerah dan lain-lain bagi bertanyakan lebih lanjut berhubung insiden berkenaan.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya sebenarnya turut dibantu oleh dua lagi orang awam, saya pun tak kenal siapa mereka, cuma saya hanya dapat satu tangkap layar di Facebook nama mereka yang tolong saya.

“Kami sama-sama tarik kedua-dua mangsa perempuan yang masih berada di dalam air ke darat dengan kayu,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai insiden berkenaan Suzaini berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari hospital bersama anaknya.

Ketika tiba di laluan berkenaan, dia terlihat sebuah kereta telah terjunam ke dalam tasik dan sedang tenggelam.

Keadaan kereta mangsa setelah dibawa keluar dari tasik. - Foto Bomba Batu Pahat
Keadaan kereta mangsa setelah dibawa keluar dari tasik. - Foto Bomba Batu Pahat

“Saya lihat ada lelaki yang cuba keluar dari tingkap, tapi jatuh semula ke dalam air dan kelihatan seperti sukar untuk berenang, jadi saya mengambil keputusan memasuki tasik bagi menyelamatkannya.

“Ketika itu saya dapat rasakan kawasan di situ agak dalam... apa pun, saya lega kerana dapat membawa lelaki itu ke tebing dan kemudiannya bersama dua lagi orang awam, kami sama-sama menghulurkan kayu dan menarik dua lagi mangsa perempuan yang masih berada di dalam air,” katanya.

Sementara itu, Suzaini berkata, kejadian berkenaan merupakan kejadian kedua yang berlaku dalam hidupnya.

Katanya, perkara sama pernah berlaku ketika dia masih bersekolah di mana salah seorang rakannya hampir lemas di sebuah lokasi air terjun di Kota Tinggi.

“Kalau diikutkan, ini merupakan kejadian kedua... sebelum ini di sebuah lokasi air terjun. Apa pun, diharapkan kepada semua pemandu agar berhati-hati dalam pemanduan masing-masing bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.