FIFA iktiraf Piala AFF

Infantino meluahkan hasrat untuk menaik taraf Piala AFF. - Foto AFP
Infantino meluahkan hasrat untuk menaik taraf Piala AFF. - Foto AFP
A
A
A

'PIALA Dunia' Asia Tenggara, Piala AFF berpeluang untuk 'naik pangkat' sebagai kejohanan rasmi yang disenaraikan dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berita baik itu dimaklumkan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino yang meluahkan hasrat untuk membantu agar Piala AFF segera dinaik taraf sebagai kejohanan rasmi badan induk bola sepak dunia tersebut.

Beliau berkata, menerusi populasi dan capaian penyokong yang tinggi, Piala AFF berpotensi besar menjadi kejohanan yang dihormati dan berkembang pesat, lapor laman berita Vietnam, Zingnews.

“Piala AFF perlu dinaik taraf kepada kejohanan rasmi FIFA. Kita mesti memastikan kejohanan ini berkembang dengan lebih baik.

“Jika kita bekerjasama, saya pasti Piala AFF akan menjadi lebih besar dengan kelulusan FIFA,” ujar Infantino.

Beliau menambah, kejohanan dwitahunan itu dianggap sebagai pertandingan penting buat lebih 650 juta penduduk di rantai Asia Tenggara.

"Semua rakyat ASEAN sangat menyukai bola sepak.

“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, negara-negara ASEAN meminati bola sepak dan membuat pencapaian dalam bola sepak lelaki dan wanita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengiktirafan kejohanan seperti Piala AFF bakal memberi kelebihan kepada negara-negara bertanding untuk memperoleh lebih banyak mata ranking FIFA.

Infantino pada Isnin menyaksikan final kedua Piala AFF di Stadium Thammasat yang menemukan Thailand dan Vietnam.

Pada aksi itu Thailand menewaskan Vietnam 1-0 untuk muncul juara dengan agregat 3-2.