Malaysia dalam misi memenangi 'perlumbaan ekonomi' di Asia Tenggara

Steven (empat, kiri) menyempurnakan perasmian City Link Sky Bridge yang menghubungkan Coronation Square ke Stesen Johor Bahru Sentral pada Isnin. - Foto Bernama
Steven (empat, kiri) menyempurnakan perasmian City Link Sky Bridge yang menghubungkan Coronation Square ke Stesen Johor Bahru Sentral pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Malaysia kini dalam misi untuk memenangi ‘perlumbaan ekonomi’ dalam kalangan negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara, selepas disifatkan kehilangan banyak peluang yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19, tiga tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, dalam mencapai misi tersebut, kerajaan juga telah menaikkan peruntukan pembangunan bagi tahun ini kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion pada tahun lalu.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan Persekutuan akan terus memberi fokus kepada pembangunan ekonomi negeri dengan Johor diberi penekanan kerana menerima pelaburan langsung asing tertinggi sebanyak RM80.6 bilion pada tahun lepas.

"Kerajaan Perpaduan (menerusi) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam misi untuk mengejar kembali peluang ekonomi dan pelaburan yang kita telah hilang dan kita mahu ‘memenangi perlumbaan’ ini.

"Beberapa tahun lalu apabila kita dengar berita syarikat Tesla mahu melabur di Indonesia, ramai di antara kita berasa bimbang pelaburan asing akan lari ke negara jiran, namun dalam masa singkat kini kita telah dapat tarik semula pelaburan, antaranya Tesla, Amazon, Geely dan Rongsheng Petrochemical Co Ltd,” kata beliau ketika berucap merasmikan pembinaan laluan pejalan kaki ‘City Link Skybridge, di sini, pada Isnin.

Justeru, bagi memastikan kesemua pelaburan tersebut dapat direalisasikan, beliau berkata, kerajaan menerusi agensi-agensi berkaitan akan terus memudah cara bagi membolehkan pelaburan asing masuk dengan lebih agresif ke dalam negara.

Pada majlis itu, beliau turut merasmikan pembinaan laluan pejalan kaki yang bakal dibina sepanjang 280 meter dengan kos bernilai RM50 juta.

Laluan itu menghubungkan Coronade Square ke Johor Bahru Sentral. - Bernama