RM11.2 juta nilai tiket tonton aksi Ronaldo-Messi

Messi (kiri) dan Ronaldo akan bertembung pada perlawanan amal di Arab Saudi pada Khamis.
Messi (kiri) dan Ronaldo akan bertembung pada perlawanan amal di Arab Saudi pada Khamis.
A
A
A

SEORANG jutawan Arab Saudi sanggup membida AS$2.6 juta (RM11.2 juta) untuk mendapatkan tiket bagi menonton pertembungan dua bintang sensasi, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam perlawanan amal.

Perlawanan esok di Riyadh itu akan menemukan Messi memimpin Paris Saint-Germain menentang pasukan pilihan daripada kelab terbaharu Ronaldo, Al Nassr dan pesaing terdekat mereka, Al Hilal.

Pemenang bidaan tersebut diumum oleh Turki al-Sheikh, seorang penasihat di Mahkamah Diraja dan Ketua Penguasa Hiburan Am Arab Saudi pada Selasa.

Sheikh mengumumkan di Twitter pemenang menerusi bidaan AS$2.6 juta adalah Mushref al-Ghamdi yang merupakan seorang jutawan dalam bidang hartanah.

"Tahniah, anda layak mendapatnya dan semoga Tuhan membalas anda dengan kebaikan," kata Sheikh.

Bidaan itu bermula pada harga 1 juta riyal (RM1.1 juta) dan ia ditutup pada jam 11.30 malam Selasa waktu tempatan.

Pemenang bidaan tiket istimewa itu berpeluang bergambar dengan pemain dan akses ke bilik persalinan.

Hasil lelongan tersebut akan disumbangkan untuk kempen amal kebangsaan yang dikenali sebagai Ehsan.

Artikel Berkaitan:

Selain Messi, bintang PSG yang dijangka beraksi ialah penyerang Perancis, Kylian Mbappe.

Turut dijangka beraksi ialah Achraf Hakimi yang membantu Maghribi muncul pasukan Arab dan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar.

Selain Ronaldo, gabungan dua kelab itu dijangka disertai Salem Al-Dawsari yang menjaringkan gol kemenangan ketika kemenangan mengejut Arab Saudi ke atas ke atas Argentina pada saingan peringkat kumpulan Piala Dunia lalu.