Hafizh Syahrin, Adam Norrodin rindu aura Sepang

Hafizh (kiri) dan Adam ketika majlis menandatangani perjanjian tajaan Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Racing Boy di Puchong pada Selasa. - Foto RCB Global - Racing Boy
Hafizh (kiri) dan Adam ketika majlis menandatangani perjanjian tajaan Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Racing Boy di Puchong pada Selasa. - Foto RCB Global - Racing Boy
A
A
A

MALAYSIA boleh berbangga apabila masih mempunyai dua wakil dalam saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), walaupun Malaysia tidak berada dalam kalendar perlumbaan selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2016.

Mengakui rindu untuk berlumba di hadapan penyokong sendiri, dua pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah dan Muhamad Adam Norrodin, masing-masing mengharapkan ada pihak yang sudi untuk membawa semula perlumbaan itu ke negara ini.

Hafizh Syahrin yang mewakili MIE Racing Honda Team dalam kelas premier bagi musim 2023 berkata, perkara positif yang paling dinantikan beliau ialah, perlumbaan WSBK kembali dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang.

“Sudah tentu sebagai pelumba Malaysia kita nak ada 'home race' tapi saya tidak pasti kita akan ada ataupun tidak...saya tak pasti siapa yang berhak untuk bawa kejohanan ini di Malaysia tapi kenapa tidak?.

“Ini perkara positif, 'home race' di Sepang akan jadi menarik dan menggembirakan, satu perkara positif saya harapkan ialah kita ada 'home race',” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian bersama RCB (Racing Boy) di Puchong di sini, pada Selasa.

Pada masa sama, Muhamad Adam yang berlumba dalam kelas 600cc bersama MIE Racing Honda Team musim ini berpendapat, kejohanan itu akan menerima sambutan menggalakkan sekiranya dianjurkan semula di Sepang.

“Sudah tentu saya harapkan ia balik ke Sepang kerana saya rasa ia bagus untuk peminat selepas lama tidak dianjurkan, bagus juga dari segi pemasaran dan untuk kami pelumba negara.

“Saya sudah banyak berlumba di Sepang di hadapan penyokong sendiri, ia akan jadi satu motivasi tambahan buat saya jika WSBK kembali ke Malaysia, kita tunggu dan lihat,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Pusingan pembukaan saingan WSBK 2023 akan berlangsung di Litar Phillip Island di Australia pada 24 hingga 26 Februari depan.

Terdahulu, Hafizh Syahrin dan Muhamad Adam masing-masing menandatangani perjanjian penajaan selama setahun bersama RCB, yang menyaksikan kedua-dua pelumba itu menjadi duta jenama tersebut dan akan terlibat dalam program penyelidikan dan pembangunan yang bakal dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RCB, Bruce Lee berkata, jenama itu berbangga untuk menyokong dua pelumba berkenaan kerana mereka akan berlumba dalam salah satu daripada peringkat tertinggi perlumbaan motosikal antarabangsa dan telah secara konsisten menunjukkan bakat mereka dan dedikasi mereka.

“Kami juga teruja untuk mempunyai kepakaran mereka dalam kami terus membangunkan dan memperbaiki lagi produk kami. Sebagai pelumba profesional, Hafizh dan Adam akan memainkan peranan utama dalam proses pembangunan produk RCB, memberikan pandangan dan maklum balas bagi membantu jenama ini untuk terus berinovasi dan berkembang,” katanya. - Bernama