Hang-seo tinggalkan Vietnam dalam kekecewaan

Hang-seo
Hang-seo
A
A
A

NADA kecewa diluahkan pengendali Vietnam, Park Hang-seo selepas kekalahan kepada Thailand dengan agregat 2-3 dalam perlawanan akhir Piala AFF yang menjadi penamat kariernya bersama skuad Naga Emas itu.

Hang-seo gagal membawa Vietnam menjulang piala tersebut buat kali kedua selepas seri 2-2 di Hanoi dan kemudian tewas 0-1 pada final kedua di Stadium Thammasat, Pathum Thani pada Isnin.

"Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Thailand dan (Alaxandre) Polking kerana menang Piala AFF kali ini. Hari ini saya mahu memberikan hadiah kepada penyokong, tetapi tidak berjaya. Saya minta maaf.

"Keputusan ini tidak seperti yang saya harapkan. Pemain sudah melakukan yang terbaik terutama ketika bermain di laman lawan. Saya harap peminat akan terus menyokong dan tidak mengkritik pemain," katanya seperti dipetik daripada Vietnam Post English.

Hang-seo mengendalikan skuad senior Vietnam sejak 2017 dan meraih 26 kemenangan, 15 seri dan 14 kekalahan dalam 55 perlawanan.

Daripada keseluruhan perlawanan itu, dia berjaya membawa Vietnam memenangi Piala AFF pada 2018.

Selain itu, Hang-seo juga sempat melatih pasukan bawah 23 tahun (B-23) Vietnam dan muncul juara dua kali dalam saingan Sukan SEA pada 2019 dan 2021 selain menjadi naib juara Piala Asia B-23 pada 2018.

Dalam pada itu, Hang-seo turut mengharapkan pasukan Vietnam akan terus maju dan berkembang.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang saya tidak lagi sebagai ketua jurulatih namun sebagai penyokong yang akan bersorak untuk pasukan Vietnam.

"Saya rasa masih jurulatih yang mempunyai banyak kekurangan, sentiasa cuba mengharungi setiap perlawanan. Yang dikesalkan ialah saya tidak lagi bersama pemain.

"Banyak yang telah kami lalui dengan pelbagai suka dan duka bersama. Tidak bersama pemain membuatkan saya sangat sedih," katanya.