Cabutan rezeki Ikhlas menanti pengunjung MSAM 2019

A
A

TAKAFUL Ikhlas akan menganjurkan acara Cabutan Rezeki Ikhlas khusus untuk para pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 pada 19-25 April ini di Sungai Petani, Kedah.

Menurut kenyataan Takaful Ikhlas hari ini, pengunjung yang menyertai pelan-pelan perlindungan takaful keluarga pada MSAM 2019 itu layak menyertai Cabutan Rezeki Ikhlas berkenaan dan berpeluang memenangi hadiah utama produk unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bernilai RM5,500 RM 4,500 atau RM3,500.

Pengunjung acara di perkarangan Amanjaya Mall Sungai Petani itu yang menyertai pelan perlindungan takaful am Takaful Ikhlas pula berpeluang untuk memenangi hadiah utama iaitu perlindungan kemalangan peribadi Takaful Ikhlas dengan jumlah perlindungan sebanyak RM500,000, RM300,000 atau RM 200,000.

Cabutan Rezeki itu turut menyediakan pelbagai hadiah harian seperti barangan elektrik, jam kesihatan ‘Fitbit’ atau produk unit ASNB bernilai RM100 untuk dimenangi pengunjung yang melanggani produk-produk perlindungan takaful daripada Takaful Ikhlas.

Acara MSAM adalah sebahagian daripada usaha sosial Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi mendidik masyarakat dalam aspek pelaburan dan perancangan kewangan.

Bersempena dengan penganjuran MSAM 2019 itu, Takaful Ikhlas telah menyusun pelbagai aktiviti menarik di ruang pameran untuk pengunjung acara tersebut.

Malah, Takaful Ikhlas turut menyokong usaha PNB ini dengan penganjuran aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan tahap celik pelaburan dan pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Para pelawat boleh mengunjungi ruang pameran Takaful Ikhlas bagi mendapatkan maklumat lanjut serta produk-produk perlindungan takaful antaranya Ikhlas Value Term Takaful, Ikhlas Education Takaful Plus, Ikhlas Basic Hospital Income Benefit Takaful, Ikhlas Motor P.A.Takaful, Ikhlas Kembara P.A. Takaful dan Ikhlas Houseowner/Householder Takaful.

Selain itu, pihak Takaful Ikhlas turut menaja program stesen TV AlHijrah, ‘Sila Duduk Jangan Lari’ pada 19 April, jam 9 malam di Pentas Utama acara itu.

Rancangan yang disiarkan secara langsung itu membincangkan topik kewangan islam bersama panel-panel jemputan. -Bernama