Perlu garis panduan jelas lapor salah laku anggota kerajaan

Adnan menyambut baik usaha yang ingin dilaksanakan kerajaan, namun panduan atau sistem yang jelas perlu diperkenalkan bagi melindungi pemberi maklumat.
Adnan menyambut baik usaha yang ingin dilaksanakan kerajaan, namun panduan atau sistem yang jelas perlu diperkenalkan bagi melindungi pemberi maklumat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa satu garis panduan atau mekanisme jelas diwujudkan untuk membolehkan penjawat awam menegur salah laku membabitkan anggota pentadbiran kerajaan termasuklah Perdana Menteri.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu penting bagi mengelak berlakunya penganiayaan terhadap penjawat awam yang membuat laporan sekiranya diketahui oleh pegawai tertinggi atau menteri yang terlibat.

Ini kerana katanya, Cuepacs berpandangan amat sukar untuk warga perkhidmatan awam memberi teguran kepada ketua jabatan masing-masing termasuk melibatkan Jemaah Menteri.

"Kesediaan pegawai tertinggi serta Jemaah Menteri untuk menerima teguran masih lagi menjadi persoalan sama ada ia boleh diterima dengan baik atau sebaliknya.

"Melalui pekeliling dan dasar sedia ada ketika ini pun amat sukar untuk penjawat awam memberi teguran membina kepada jabatan atau agensi masing-masing.

"Jika mahu memberi teguran kepada Jemaah Menteri sudah tentu lebih sukar terutama kebimbangan penjawat awam itu sendiri mungkin akan menerima tekanan tertentu bukan sahaja daripada ketua jabatan bahkan pegawai-pegawai menteri itu sendiri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin yang dilaporkan berkata, warga perkhidmatan awam wajar membuat teguran terhadap anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang didapati melanggar tindakan undang-undang.

Anwar berkata, teguran tersebut turut membabitkan dirinya yang kini memegang portfolio Menteri Kewangan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang ingin dilaksanakan kerajaan itu.

Namun katanya, panduan atau sistem yang jelas perlu diperkenalkan oleh kerajaan.

Ujarnya, ia bagi membolehkan warga perkhidmatan awam turut sama terlibat dalam memerangi gejala salah laku ini terutama membabitkan pegawai tertinggi kerajaan dan menteri.

"Keutamaan yang perlu diberikan oleh kerajaan adalah dalam memastikan kerahsiaan pengadu itu sendiri selain memastikan ketulenan aduan yang dibuat.

"Setiap aduan juga perlu ditangani dengan baik bagi memastikan ia dilaksanakan atau mempunyai penyelesaian sewajarnya," katanya.

Tambahnya, ketiadaan panduan atau sistem yang jelas hanya menjadikan aduan yang dilapor bersifat sia-sia.

"Cuepacs juga tidak mahu aduan yang tidak tulen dibuat sehingga boleh menjejaskan kredibiliti pegawai atau menteri yang terlibat.

"Sebab itu keperluan untuk memastikan garis panduan atau sistem pengaduan itu jelas adalah amat penting," katanya.