Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing libat 5 sektor kritikal

 V Sivakumar - Foto Bernama
V Sivakumar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan melaksanakan program Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing bagi lima sektor dan sub sektor kritikal.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sektor dan sub sektor terlibat ialah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (melibatkan restoran sahaja).

Beliau berkata, majikan di bawah kelima-lima sektor dan sub sektor berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval, berkuat kuasa serta-merta.

"Kementerian Sumber Manusia akan memproses dan memberikan kelulusan permohonan penggajian pekerja asing ini dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima," katanya.

Sivakumar berkata, pengiklanan kekosongan jawatan di Portal MyFutureJobs adalah dikecualikan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, majikan yang telah membuat permohonan dalam Modul FWe Approval dan Modul eQuota sebelum 17 Jan 2023, permohonan baharu hendaklah dikemukakan menerusi Modul FWe Approval bagi membolehkan permohonan majikan dipertimbangkan di bawah program pelan berkenaan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran, Kementerian Sumber Manusia di talian 03-8885 2939/2940.

Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Januari lepas bersetuju mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing, selain melaksanakan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Artikel Berkaitan:

Menerusi pelan tersebut, majikan akan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota. - Bernama