Dua sekolah di Parlimen Tambun terima RM550,000

Fadhlina (kanan) ketika meninjau keadaan SK Chepor di sini sempena lawatan kerjanya ke Perak pada Selasa.
Fadhlina (kanan) ketika meninjau keadaan SK Chepor di sini sempena lawatan kerjanya ke Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan peruntukan RM550,000 kepada dua sekolah di kawasan Parlimen Tambun bagi tujuan penyelenggaraan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjung, Tanjung Rambutan yang menerima RM400,000 manakala SK Chepor pula menerima RM150,000.

Menurutnya, kelulusan peruntukan tersebut diberikan berikutan beberapa isu khususnya berkaitan pendaftaran murid.

"Kita umumkan RM400,000 kerana kita dapati penyelenggaraan luar biasa sikit khususnya berkaitan dengan fasiliti dan juga jangkaan untuk pendaftaran tahun depan meningkat untuk Darjah Satu (SK Seri Tanjung).

"Sebentar tadi saya umumkan RM150,000 untuk sekolah ini (SK Chepor) khususnya membaiki tembok di bahagian belakang dan penyelenggaraan tandas," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Perak di SK Chepor di sini pada Selasa.

Menurutnya, dengan bantuan yang diberikan itu secara tidak langsung dapat membantu menambah baik kemudahan di sekolah.

Jelas Fadhlina, peruntukan tersebut juga memastikan persekitaran sekolah dalam keadaan selamat untuk murid-murid.

Dalam lawatan tersebut, Fadhlina sempat menyantuni murid-murid dan guru selain diberikan taklimat mengenai sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan: