Dakwa Speaker khilaf, Bersatu bawa kes ke mahkamah - Muhyiddin

Kenyataan Muhyiddin pada Selasa.
Kenyataan Muhyiddin pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan merujuk keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang memutuskan empat ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing ke mahkamah.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan ini diambil kerana didapati berlaku kekhilafan dalam membuat tafsiran mengenai perlembagaan parti itu.

Malah katanya, Johari juga bukan pihak yang mempunyai kuasa atau layak untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu.

"Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka Bersatu akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara.

"Saya percaya mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan (PH) adalah pihak yang berkepentingan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, empat ahli Parlimen daripada GRS tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah yang memaklumkan bahawa beliau menerima salinan surat daripada Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul menerusi emel pada Isnin.

Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut mengenai dakwaan berlaku kekhilafan, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, alasan Johari membuat keputusan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah menjadi ahli langsung Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober 2022 juga tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dengan mentafsir fasal 10.2.3 perlembagaan parti, Johari mendapati keahlian mereka dalam Bersatu telah gugur serta-merta pada waktu itu, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU15 lalu.

"Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain.

"Fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli Bersatu dan parti ini adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu.

"Jadi, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai 'parti politik lain' mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu'" katanya.

Tambah Muhyiddin, sekali pun terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Fasal 27 memperuntukkan kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

"Maka, dalam hal ini hanya MPT Bersatu boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah gugur keahlian mereka serta-merta apabila mereka menyertai GRS," katanya.

Bersatu sebelum ini telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan kekosongan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka bagi ahli Parlimen menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan empat ahlinya yang bertanding pada PRU15.

Empat ahli Parlimen itu ialah Matbali, Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Kesemua mereka adalah ahli Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS bagaimanapun, pada 10 Disember lalu, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan bahawa kesemua pemimpin Bersatu Sabah telah keluar dari parti itu.