Hasil titik peluh sendiri itu lebih mulia

Janganlah suka meminta-minta daripada orang lain. -GAMBAR HIASAN.
Janganlah suka meminta-minta daripada orang lain. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

SETIAP insan diciptakan ALLAH SWT dengan kepelbagaian termasuklah dari segi warna kulit, bangsa dan sikap.

Apabila bercakap tentang sikap, ada dalam kalangan kita yang lebih suka meminta-minta untuk mendapatkan sesuatu berbanding berusaha sendiri.

Golongan seperti itu beranggapan, meminta lebih mudah untuk meraih simpati daripada orang lain.

Hakikatnya, perbuatan meminta-minta itu tidak digalakkan dalam Islam kerana ALLAH mahu hamba-Nya berusaha.

Kerana apa? Sebab ALLAH SWT sudah mengurniakan pelbagai nikmat seperti badan yang sihat, tenaga, akal fikiran dan pancaindera yang sempurna untuk memudahkan kita mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit mencari kayu api, lalu dipikul di belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluan keluarga dan hidupnya adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada mereka memberi atau tidak." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis itu sebenarnya mahu memotivasikan kita supaya berusahalah dengan tenaga sendiri untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Dalam hadis ini, ayat 'membawa tali-tali dan pergi ke bukit' membawa maksud supaya orang berusaha.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan, jika kita hanya duduk diam, kita tidak dapat apa-apa, bukan?

Malah, Rasulullah SAW sendiri mencela sikap orang yang suka meminta-minta sebagaimana dalam hadis baginda:

"Seseorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang lain sehingga nanti dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya." (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, janganlah kita meminta-minta kepada orang lain.

Gunakanlah kelebihan yang ada pada diri kita untuk mencari rezeki.

Yakinlah bahawa usaha daripada hasil titik peluh sendiri itu lebih mulia berbanding meminta-minta dan mengharapkan simpati orang lain.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)