[VIDEO] 50 hari pentadbiran PM, lebih drama daripada bekerja - PN Johor

Sahruddin
Sahruddin
A
A
A
JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) Johor menyifatkan tempoh 50 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak memberangsangkan, tiada kesungguhan menyelesaikan isu semasa dan lebih berdrama daripada bekerja.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan BN tiada kesungguhan menyelesaikan masalah rakyat seperti yang mereka janjikan dalam manifesto masing-masing.

"Saya tidak langsung merasai kesungguhan Perdana Menteri dan PH khususnya untuk merealisasikan 10 Keutamaan Tawaran Harapan bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Itu belum lagi disentuh ikhtiar dalam Perancangan Amal dan Usaha BN atau Padu.

"Salah satunya, kos sara hidup. Sehingga kini, isu kos sara hidup masih membelenggu rakyat. Suara menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar untuk terakhir kalinya masih kedengaran.

"Kenapa begitu? Tidak kurang pula keluhan rakyat di lapangan dalam meniti liku hidup. Masalah bekalan di pasaran tidak berkesudahan. Kerajaan mengambil keputusan mengimport telur dari negara luar bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan. Sedangkan isu sebenar adalah menyelesaikan masalah dalaman dihadapi pengeluar domestik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, 'pakar ekonomi' ketika menjadi pembangkang iaitu Rafizi Ramli sehingga kini masih belum berjaya mengemukakan formula yang dapat memulihkan 'poket' rakyat walaupun sudah menjadi menteri.

"Tertunggu-tunggu juga apa yang akan membuatkan PN 'terduduk'. Jangan pula beliau yang 'terciduk'. Sedang Perdana Menteri tersenyum dengan jawatan beliau, jemaah menteri kerajaan campuran terus berkelakuan 'abnormal'," dakwa beliau.

Antaranya, ujar Dr Sahruddin, pemberian tuala wanita percuma di pejabat menteri berkeaan, selain itu disekat pula hak kebebasan bersuara rakyat terutama dalam aplikasi TikTok.

Seterusnya jelas beliau, keputusan kerajaan yang berubah-ubah mengenai pelantikan jawatan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
Artikel Berkaitan:


"Mula-mula, menamatkan perkhidmatan politik. Kemudian umum pelantikan, tiba-tiba ditangguhkan pula selepas teruk 'dilanyak' rakyat. Itu belum dikira kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang meragukan.

"Bekas menteri BN menyatakan kos akhir dimuktamadkan adalah RM50.27 bilion. Perdana Menteri pula kata RM74.96 bilion dan ia telah berkurang berbanding kos asal iaitu RM85.97. Jadi, siapa bercakap benar dan siapa bercakap bohong," soalnya.

Jelasnya, itu belum dipersoalkan berkenaan janji Anwar untuk menurunkan harga minyak ketika berkempen semasa menjadi pembangkang yang sehingga ke hari ini harga minyak masih tidak berubah seperti dijanjikan.

Selain itu katanya, kebimbangan umum terhadap kemasukan pelawat dari China juga seakan tidak didengari sedangkan rakyat telah merasai kesukaran dan kesengsaraan akibat pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

"Hingga kini, virus ini masih wujud dengan pelbagai varian. Belajarlah daripada pengalaman lalu. Tempoh suram yang terpaksa dilalui dunia dan negara akibat Covid-19, telah menghambat kita semua. Kini, dalam fasa endemik, kerajaan tidak boleh ambil mudah dalam menentukan soal kesihatan dan keselamatan awam," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berpendapat, tempoh 50 hari pentadbiran Anwar menjadi Perdana Menteri tiada apa yang boleh dibanggakan termasuk lantikan jemaah menteri yang tiada 'wow factor'.