GTA masih belum 'berkubur' walau Pejuang tarik diri - Zamani

Zamani Ibrahim
Zamani Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Parti gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) masih belum ‘berkubur’ meskipun Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan penarikan diri sebagai komponen dalam gabungan berkenaan.

Timbalan Pengerusi GTA, Zamani Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan dibuat Pejuang tidak memberikan kesan kepada usaha meneruskan GTA sebagai gerakan suara rakyat.

Beliau sehubungan itu berkata, GTA akan meneruskan urusan pendaftarannya dengan Jabatan Pendaftaran Malaysia (RoS), selain terus memberikan kefahaman kepada rakyat terhadap agenda utama gerakan terbabit.

Menurutnya, melalui pertemuan parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan beberapa pimpinan parti selain Pejuang bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Berjasa bersetuju untuk meneruskan urusan pendaftaran GTA sehingga berhasil.

“Pandangan beberapa pemain politik bahawa GTA telah berkubur adalah tidak tepat, malah GTA masih memberikan mandat penuh untuk Tun menerajui GTA,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Zamani yang juga Presiden Berjasa turut memaklumkan penubuhan GTA bukan idea daripada Pejuang, sebaliknya gabungan berkenaan diasaskan sendiri Dr Mahathir yang kebetulan ketika itu adalah Pengerusi Pejuang.

Artikel Berkaitan: