Kes letupan: Suami isteri didakwa bunuh pelayan restoran

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majisret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pelayan restoran selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet kereta lelaki itu meletup, Disember lepas.

Khor Swee Boon, 33, dan isterinya Ng Hui Yee, 30, didakwa bersama-sama membunuh Cho Lim Fong, 29, di depan sebuah restoran di Jalan Pandah Indah 1/22, Pandan Indah di sini, pada 8.55 malam, 29 Disember 2022.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Swee Boon dan Hui Yee mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Nurmaizan Rahim, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Peguam RSN Rayer yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan diberikan kepada Hui Yee atas alasan wanita itu perlu menjaga dua anak berusia lima dan tujuh tahun dan kini berada di bawah jagaan ibu bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin membantah permohonan itu dengan menyatakan tiada keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan jaminan.

Mahkamah kemudian menolak permohonan jaminan itu dan menetapkan 23 Mac untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: