Tuntutan palsu RM20.3 juta, pengerusi koperasi pula direman

Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar bagi mendapatkan perintah reman dalam siasatan membabitkan tuntutan palsu bernilai RM20.3 juta pada 2015.
Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar bagi mendapatkan perintah reman dalam siasatan membabitkan tuntutan palsu bernilai RM20.3 juta pada 2015.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lagi individu direman enam hari bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu bayaran insentif projek penternakan lembu tenusu bernilai RM20.3 juta pada 2015.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Muhammad Zulhilmi Latif di Mahkamah Majistret Alor Setar di sini pada Isnin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum itu, suspek yang berpakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini pada jam 8.48 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan.

Pada Ahad, seorang lelaki berusia 58 tahun yang juga pengerusi koperasi di negeri ini ditahan pada jam 1 tengah hari di Pejabat SPRM Kedah, di sini.

Sumber memberitahu, suspek terbaharu itu ditahan hasil maklumat diterima mengatakan dua syarikat bersubahat mengemukakan tuntutan palsu pada tahun 2015.

Tuntuan itu berkaitan insentif pembayaran Projek Penternakan Lembu Tenusu di bawah Kluster Tenusu Entry Point Project 13(EPP 13) Economy Transformation Plan (ETP) yang bernilai sebanyak RM 20.3 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedangkan tiada pembekalan dibuat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan seorang suspek berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada Rabu lepas, Sinar Harian melaporkan dua individu termasuk pemilik syarikat ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu bernilai RM20.3 juta kira-kira lapan tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Mereka ditahan secara berasingan pada Selasa selepas disyaki terbabit membuat tuntuan palsu berjumlah RM20.3 juta.

Menurut sumber, seorang lelaki berusia 51 tahun yang juga pengarah sebuah syarikat ditahan di Pejabat SPRM Kedah pada jam 1 tengah hari manakala seorang lagi lelaki yang juga pemilik sebuah syarikat ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor, pada jam 3 petang hari sama.