Kecewa suami dicekup bersama bekas isteri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kehadiran orang ketiga yang menggugat keharmonian sesebuah rumah tangga sering didengar, berbeza pula dengan kisah seorang wanita yang berada dalam dilema setelah suaminya dicekup bersama bekas isteri yang telah dicerai talak tiga.

Kongsi Amy (bukan nama sebenar) yang berusia 35 tahun, dia mengahwini suaminya yang lima tahun lebih tua atas dasar cinta dua tahun selepas lelaki itu bergelar duda.

Namun, tahun pertama perkahwinan dia dikejutkan dengan tindakan suaminya yang masih tinggal serumah dengan bekas isterinya walaupun ketika itu sudah bercerai.

“Ketika itu perkahwinan kami jarak jauh. Saya sudah tahu suami masih berhubung dengan bekas isterinya atas alasan anak-anak.

“Apa yang menimbulkan persoalan ialah apabila suami masih tinggal sebumbung dengan bekas isterinya. Perkara itu saya bawa ke pejabat agama dan pihak berkenaan berjanji akan menyiasat.

“Hasil siasatan itu, dua kali suami saya dicekup bersama bekas isterinya kali pertama pada 2019 dan kali kedua pada 2020.

“Keduanya sudah dihukum setelah ditangkap jabatan agama pada 2019 namun mereka seolah tidak serik apabila masih melakukan perbuatan sama apabila sekali lagi ditahan dan kes tersebut masih dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah,” katanya kepada Sinar Harian.

Amy yang mempunyai dua cahaya mata berkata, dia juga pernah memfailkan penceraian namun tidak mendapat kelulusan hakim syarie dan kini dia dalam dilema.

Artikel Berkaitan:

“Hubungan kami berdua hanya atas nama perkahwinan. Saya lebih memberi tumpuan kepada anak-anak yang masih lagi kecil,” ujarnya.