Bazar Ramadan Ayer Baloi dipindahkan atas faktor keselamatan

Abdul Ajib (kiri) dan Zulkifly (kanan) menunjukkan lokasi tapak bazar Ramadan Pekan Ayer Baloi yang terletak di bahu jalan utama Pontian-Batu Pahat.
Abdul Ajib (kiri) dan Zulkifly (kanan) menunjukkan lokasi tapak bazar Ramadan Pekan Ayer Baloi yang terletak di bahu jalan utama Pontian-Batu Pahat.
A
A
A

PONTIAN - Perpindahan tapak bazar Ramadan di Ayer Baloi dan Parit Mesjid dilihat sebagai langkah tepat.

Penduduk, Mohd Abdul Ajib Kamarudin, 33, yang tinggal berdekatan tapak bazar Ayer Baloi berkata, lokasi bazar sebelum ini mengundang kesesakan selain risiko kemalangan.

"Kedudukan bazar terletak di sepanjang bahu jalan, itu yang buat jadi sesak dan kemalangan kerap berlaku

"Tapi Alhamdulillah belum libatkan nyawa. Apa yang saya risaukan ada dua buah sekolah berhampiran, jadi murid-murid sekolah ini paling berisiko terdedah kepada kemalangan," katanya ketika ditemui di Pekan Ayer Baloi, di sini semalam.

Menurutnya, ditambah dengan kenderaan pengunjung bazar, menyebabkan keadaan menjadi cukup rumit.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Mohd Ali pula berkata, dia akur dengan keputusan perpindahan bazar berkenaan.

"Ada juga peniaga yang tak puas hati sebab mereka bimbang rezeki terjejas.

"Kita tiada pilihan, kalau ini yang terbaik untuk semua pihak, saya terima," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, tular di media sosial ketidakpuasan hati peniaga berhubung perpindahan lokasi tapak bazar di Ayer Baloi dan Parit Mesjid yang didakwa tidak strategik.

Whip Ahli Majlis Daerah Pontian ( MDP), Zulkifly Tasrep berkata, perpindahan dilakukan disebabkan faktor keselamatan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perlesenan memaklumkan, tiga lokasi terlibat dengan perpindahan ialah Parit Mesjid di Taman Cahaya, Pekan Ayer Baloi di Pekarangan Dewan Orang Ramai Ayer Baloi dan Pekan Nanas di Tanah Rezab MDP ( tapak Pasar Selasa).

“Dalam soal keselamatan, kita tidak boleh kompromi. Kita tak mahu berlakunya kemalangan libatkan nyawa.

“Soal perpindahan tapak ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Majlis Daerah, Isnin lalu. Pandangan semua pihak diambil kira sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Zulkifly berkata, jalan Pekan Ayer Baloi merupakan jalan utama Pontian-Batu Pahat menyaksikan kenderaan menggunakan laluan di situ termasuk lori dan bas ditambah dengan kedudukan dua buah sekolah berdekatan.

Katanya, kain rentang bagi tujuan pemberitahuan perpindahan tapak bazar akan dipasang di beberapa tempat di daerah ini.

“Pada 22 April ini, perbincangan dengan ketua kampung, penghulu, peniaga dan ahli jawatankuasa perlesenan akan diadakan di Ayer Baloi,” katanya.