Pejuang kini dalam dilema, pilihan terbaik tidak sertai PRN

Mahdzir Ibrahim
Mahdzir Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kini didakwa berada dalam dilema untuk memutuskan perlu menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan dalam tahun ini atau sebaliknya.

Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim mendakwa, sukar untuk Pejuang membuat keputusan ketika ini selepas mengumumkan menarik diri daripada menjadi komponen GTA pada Sabtu.

Beliau yang dilantik Pejuang sebagai Penyelaras Parlimen Parit Sulong berkata, parti itu masih memiliki pilihan kedua iaitu menyertai Pakatan Harapan (PH) dan pilihan ketiga pula menyertai Perikatan Nasional (PN).

"Pilihan kedua dan ketiga agak ganjil kerana Pejuang tidak dilihat mempunyai kuasa penawaran, baik kepada PH dan PN.

"Jika pilihan ke empat untuk bergerak secara solo pula, ia tidak akan memperkukuhkan parti malah hanya akan mengulangi kekalahan yang lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan menarik diri daripada GTA pada mesyuarat agung kedua parti itu.

Menurut Mukhriz, ketetapan itu juga membolehkan Pejuang diberikan sedikit masa untuk mengukuhkan parti dalam banyak perkara dilakukan sebelum benar-benar dapat memberi nilai tambah kepada mana-mana parti dalam gabungan berkenaan.

"Selain itu, kita turut mengadakan perbincangan panjang lebar mengenai gabungan mana yang kita (Pejuang) jika sertai sekiranya ada menjelang PRN yang akan berlaku dalam tahun ini," kata Mukhriz lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pilihan terbaik yang ada pada Pejuang ketika ini adalah tidak menyertai mana-mana PRN.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan Pejuang itu masih boleh diteliti dan dibincangkan secara terbuka khususnya berkaitan sebab utama mereka berbuat demikian adalah untuk mengukuhkan semula parti.

"Daripada kenyataan ini, ia menggambarkan seolah-olah selama Pejuang berada bersama GTA, parti ini tidak dapat memperkukuhkan organisasinya atau mungkin melemahkan partinya. Demikian maksud yang saya faham dari kenyataan itu.

"Apakah benar ada halangan untuk Pejuang mengurus atau mengembangkan partinya selama ia berada di dalam GTA? Jika ada, apakah halangan itu hingga menyebabkan parti terpaksa mengambil keputusan untuk keluar daripada GTA, ini tidak pula dinyatakan dengan jelas baik kepada umum mahupun ahli akar umbinya," katanya.