Pendirian kerjasama dengan GTA punca Tun M letak jawatan

Mukhriz ketika hadir Mesyuarat Agung Parti Pejuang Tanah Air kali kedua di sebuah hotel di Seri Kembangan pada Sabtu. - Foto Bernama
Mukhriz ketika hadir Mesyuarat Agung Parti Pejuang Tanah Air kali kedua di sebuah hotel di Seri Kembangan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan mengenai punca peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti itu pada Disember tahun lalu.

Tindakan Mahathir itu menurut beliau, diambil selepas berlakunya perbezaan pendirian antara dirinya dan bekas Perdana Menteri itu berhubung kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Selepas PRU15 yang menyaksikan Pejuang dan GTA hilang wang deposit dan kalah di semua kerusi ditandingi. Mesej saya terima daripada ahli kita mencadangkan supaya kita pertimbangkan semula hubungan dengan GTA.

“Walaupun begitu, saya mengesyorkan agar ketetapan itu dibawa bincang dalam badan tertinggi parti iaitu Perhimpunan Agung yang kita adakan pada hari ini (Sabtu).

“Tetapi Tun M yang juga memegang jawatan Pengerusi GTA desak supaya Pejuang terus menganggotai GTA. Di atas perbezaan pendirian itu Tun M ambil keputusan lepaskan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dasar semasa merasmikan Perhimpunan Agung ke-2 Pejuang yang turut disiarkan secara langsung di Facebook rasmi parti pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, Pejuang kini mempunyai lima pilihan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini antaranya terus menjadi parti komponen GTA dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi pilihan adalah bertanding secara solo dan tidak bertanding bagi memberi fokus kepada usaha memperkuat parti menghadapi PRU16.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pendekatan bertanding secara bersendirian pada PRN kali ini, Mukhriz berkata, beliau percaya Pejuang mempunyai peluang untuk bersaing sekiranya parti menilai kembali jumlah kerusi yang mahu dimenangi.

Katanya, Pejuang perlu mengukur baju di badan sendiri dengan mengambil iktibar daripada keputusan dicapai pada PRN Johor dan PRU15 lalu.

“Saya percaya jika kita fokus, bertanding hanya beberapa kerusi sahaja di negeri tertentu, maka mungkin peluang kita untuk menang itu ada. Cumanya, kita tidak dapat menawarkan diri bagi membentuk kerajaan baharu di negeri.

“Mungkin naratif kita sebaiknya ialah untuk menjadi pembangkang yang lantang mempertahankan hak rakyat bila kita berbahas dengan wakil kerajaan yang dipilih,” ujarnya.

Pada masa sama, Mukhriz menerusi ucapan tersebut turut mengemukakan usul bagi melahirkan penghargaan kepada Dr Mahathir sebagai individu yang sebelum ini menubuhkan dan memimpin Pejuang.