Pejuang sah tinggalkan Gerakan Tanah Air

Mukhriz (tiga dari kanan) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agong Kedua Parti Pejuang di Seri Kembangan pada Sabtu.
Mukhriz (tiga dari kanan) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agong Kedua Parti Pejuang di Seri Kembangan pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan keluar secara rasmi dari Gerakan Tanah Air (GTA).

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu dibuat bertujuan untuk memperkukuhkan parti.

"Perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Agung membuat keputusan supaya Pejuang berundur dari GTA.

“Kita berundur secara terhormat dari GTA, banyak perkara perlu dilakukan dalam Pejuang sebelum betul-betul kita dapat memberi nilai tambah dalam mana-mana gabungan," katanya pada sidang media selepas

Mesyuarat Agung Kedua Parti Pejuang di Seri Kembangan pada Sabtu.

Menurutnya, turut dibincangkan dalam mesyuarat agung berkenaan adalah tentangan gabungan mana yang bakal disertai sekiranya ada menjelang pilihan raya negeri (PRN).

“Banyak pandangan telah dikemukakan oleh pembahas-pembahas mewakili negeri yang lain, akhirnya mandat diberikan kepada Majlis Eksekutif Pusat (MEP) untuk teruskan perbincangan atau rundingan dengan mana-mana pihak untuk diputuskan di peringkat MEP.

“Buat masa ini tidak ada sebarang keputusan selain mandat untuk kita terbuka berbincang dan berunding dengan mana-mana pihak, itu yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai gabungan atau blok parti yang bakal menjadi pilihan Pejuang, Mukhriz mengakui buat masa ini tiada rundingan secara rasmi bersama mana-mana gabungan.

“Tapi dalam masa terdekat ini, kita akan bertemu pemimpin-pemimpin gabungan sedia ada ini untuk kita terokai kemungkinan kerjasama yang boleh kita bentuk dengan mereka. Sekiranya boleh, kalau tak boleh tidak mengapa,” katanya.

Tambahnya, satu jawatankuasa khas ditubuhkan oleh MEP untuk menilai semua pilihan yang ada bagi membentuk kerjasama dengan parti lain.

Mengulas lanjut mengenai penglibatan Pejuang dalam PRN di enam buah negeri terlibat, Mukhriz berkata, perkara tersebut masih diteliti.

“Tak semestinya semua enam negeri Pejuang akan bertanding tumpuan akan diberikan di negeri yang kehadiran kita itu sudah dirasai, ahli ramai dan aktiviti banyak jadi negeri berkenaan wajar untuk bertanding.

“Apa juga ketetapan jentera dibuat adalah ikut kemampuan termasuk dari segi sentimen di satu-satu kawasan termasuk jentera.

“Berbeza dengan pilihan raya di peringkat Parlimen, calon pilihan raya di peringkat negeri perlu dipilih dalam kalangan anak tempatan dan dikenali di kawasan masing-masing,” katanya.

Berhubung usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Mukhriz berkata, iaitu suatu yang mengejutkan dan menyifatkan demokrasi sudah terkubur.

Bagaimanapun, beliau tidak berhasrat masuk campur parti lain, namun memberitahu tujuan persidangan adalah tidak lain adalah untuk memilih pemimpin.

"Tindakan hari ini (tidak pertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden) satu yang akan memberi impak yang sangat buruk kepada UMNO.

"Semasa penggulungan ucapan dasar saya katakan, kalau ada masyarakat Melayu, sila datang kepada Pejuang kerana amalan demokrasi subur, sesiapa boleh bertanding (Pemilihan 2024) untuk jawatan Presiden," katanya.