220 kenderaan diperiksa dalam operasi asap hitam

Anggota polis dan penguat kuasa JAS melakukan pemeriksaan dalam operasi bersepadu penguatkuasaan asap hitam berlebihan daripada kenderaan berenjin diesel pada Jumaat. - Foto JAS
Anggota polis dan penguat kuasa JAS melakukan pemeriksaan dalam operasi bersepadu penguatkuasaan asap hitam berlebihan daripada kenderaan berenjin diesel pada Jumaat. - Foto JAS
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 220 kenderaan diperiksa secara visual oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu dalam operasi bersepadu penguatkuasaan asap hitam berlebihan daripada kenderaan berenjin diesel pada Jumaat.

Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, operasi dengan kerjasama Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu melibatkan 16 anggota dan penguat kuasa itu diadakan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, berhadapan pejabat IPD Setiu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak lima kenderaan diminta menjalani pengujian meter asap bagi mengesan sebarang pelanggaran peraturan.

“Hasil pengujian ini, empat notis arahan di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.

“Notis ini mengarahkan pemilik kenderaan mengemukakan kenderaan bagi pemeriksaan semula oleh pegawai JAS untuk memastikan had pelepasan asap hitam mematuhi had yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Ramli berkata, selain notis arahan, pihaknya turut mengeluarkan satu kompaun kepada pemilik lori selepas kenderaan tersebut didapati mengeluarkan asap hitam melebihi had dibenarkan.

Katanya, kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel ) 1996 atas kegagalan mematuhi had pelepasan asap hitam tersebut.

“Operasi ini memfokuskan kepada pematuhan pelepasan asap kenderaan menggunakan diesel dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik kenderaan mematuhi peraturan.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai boleh membuat laporan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.