Zambry terima kunjungan hormat rakan sejawat dari Singapura

Zambry. - Bernama.
Zambry. - Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar Malaysia Dr Zambry Abdul Kadir hari ini (Ahad) menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan sempena lawatan kerja empat hari ke Malaysia mulai Ahad hingga Rabu (18 Januari).

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), lawatan itu merupakan lawatan peringkat menteri yang pertama diterima Zambry sejak dilantik sebagai Menteri Luar Negeri pada 2 Disember tahun lepas.

"Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Singapura.

"Lawatan kerja Tuan Yang Terutama Dr Vivian Balakrishnan akan memberi peluang terbaik untuk Malaysia dan Singapura mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama pelbagai bidang di antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Semasa lawatan itu, kedua-dua menteri akan mengadakan pertemuan dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama.

Balakrishnan juga dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut laporan Bernama pada Sabtu memetik kenyataan Kementerian Luar Singapura (MFA), beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad serta ahli politik dan personaliti Malaysia yang lain.

Balakrishnan akan diiringi pegawai dari Kementerian Luar Negeri, menurut MFA.

Artikel Berkaitan:

Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM336.73 bilion (US$76.40 bilion), peningkatan sebanyak 30.8 peratus, berbanding nilai yang direkodkan pada 2021.- Bernama.