[VIDEO] Pengundi hantu tuduhan jahat, fitnah

Ahmad
Ahmad
A
A
A

PONTIAN - UMNO menafikan dakwaan wujud pengundi hantu yang dibawa masuk ke Dewan Merdeka untuk meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dakwaan tersebut disifatkan sebagai tuduhan jahat dan fitnah kepada parti.

Ujar beliau, Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin telah diminta untuk mengarahkan keluar sekiranya terdapat bukan ahli perwakilan di dalam dewan.

"Diyakini 100 peratus tidak benar tuduhan liar itu. Kad yang tertera gambar perwakilan adalah dipakai sepanjang persidangan dan jiran-jiran kerusi perwakilan saling mengenali malah pengacara juga umumkan agar perwakilan duduk di kerusi masing-masing yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua -ketua Kampung Daerah Pontian di Pejabat Daerah di sini pada Ahad.

Mengenai satu video yang tular, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan itu adalah pegawai-pegawai Skuad Sabil dalam kalangan Ketua Pemuda yang diamanahkan untuk mengurus dan menjaga keharmonian dalam dewan dan luar Dewan Merdeka.

"Lokasi video itu ialah di Bilik Terengganu iaitu bilik yang dikhususkan kepada Sekretariat Skuad Sabil," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada UMNO akan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan ia tidak perlu.

Artikel Berkaitan:

"Tidak perlu buat laporan polis kerana perkara itu sudah dijelaskan,"katanya.

Pada Sabtu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa wujud komplot 'Langkah Dewan Merdeka' untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, 'tag' (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk 'perwakilan import' bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.