Usahawan patut rebut peluang BISA

Ahmad Yazid
Ahmad Yazid
A
A
A

SHAH ALAM - Media merupakan salah satu platform dan saluran terbaik untuk golongan industri khususnya perniagaan meningkatkan strategi pemasaran.

Konsep penganugerahan bagi mengiktiraf kejayaan sesebuah perusahaan dan perniagaan yang julung kali bakal dianjurkan oleh Sinar Harian turut disokong golongan akademik, malah meletakkan ia sebagai satu peluang keemasan untuk pengusaha meningkatkan lagi kualiti pasaran produk.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, pemasaran adalah perkara wajib yang perlu dimainkan oleh usahawan bagi memudahkan proses penjualan produk sekali gus dapat mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) adalah satu peluang terbaik yang patut direbut oleh golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengguna termasuk agensi kerajaan.

Justeru katanya, penganugerahan yang bakal dilaksanakan oleh Sinar Harian ini merupakan salah satu platform untuk pemain industri mengaktifkan pemasaran produk sekali gus menguatkan jenama mereka.

“Biasa yang kita lihat hanya syarikat besar diberi perhatian sedangkan banyak lagi produk tempatan khususnya di luar bandar mempunyai potensi yang baik.

“Saya berharap acara ini (anugerah) akan memberi pengiktirafan kepada syarikat yang benar-benar layak,” katanya kepada Sinar Ahad.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh tentang masa depan industri PKS, beliau tidak menolak golongan itu berdepan cabaran untuk menjalankan perniagaan dengan kos yang lebih rendah tetapi terpaksa menghadapi tekanan kos barangan dan sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut menyebabkan komuniti usahawan terlibat dibebani dengan hutang yang semakin bertambah.

Beliau berkata, situasi itu akan menyukarkan lagi golongan usahawan untuk bertahan dalam perniagaan dan sentiasa dihantui risiko gulung tikar.

“Apabila Bank Negara menaikkan OPR, berlaku banyak masalah kerana kos pinjaman mereka akan bertambah, ini bukan sahaja melibatkan peniaga tetapi seluruh isi rumah.

“Usahawan perlu sentiasa mencari jalan untuk bertahan tetapi isunya bagaimana kerajaan boleh membantu bagi memudahkan proses ketahanan itu.

“Tanpa bantuan dan perhatian daripada pelbagai agensi terutamanya pihak kerajaan dikhuatiri usahawan yang berpotensi terpaksa ‘gulung tikar’.

Selain itu, Ahmad Yazid berkata, usahawan juga perlu meningkatkan kemahiran pemasaran, pengurusan operasi dan kewangan serta menyusun strategi jangka panjang melalui pelbagai seminar atau kelas berkaitan dengan perniagaan.

“Program seumpama ini sangat bagus kerana usahawan akan sentiasa belajar, selain perlu juga diberi insentif kewangan,” ujarnya.