Arul mahu Malaysian Tigers bangkit berdepan Chile

Pemain Malaysian Tigers, Faiz Jali (kanan) berusaha menyekat kemaraan De Geus semasa perlawanan Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Rourkela. - Foto EPA
Pemain Malaysian Tigers, Faiz Jali (kanan) berusaha menyekat kemaraan De Geus semasa perlawanan Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Rourkela. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALIskuad hoki negara, Arul Selvaraj mengakui berdepan Belanda selaku gergasi hoki dunia bukan tugas mudah apabila Malaysian Tigers menyingkap tirai Kumpulan C Piala Dunia 2023 dengan kekalahan 0-4.

Namun katanya, para pemain Malaysian Tigers tampil positif apabila berjaya menerapkan taktikal direncana biarpun masih terdapat kelemahan perlu diperbaiki.

“Sedikit sebanyak penambahbaikan yang kita perlu daripada perlawanan ini ialah dari (aspek) kesilapan individu.

“Individu itu mesti ambil tanggungjawab untuk memperbaikinya, kadang-kadang kesilapan berlaku kerana tekanan kepada pemain dan kurang sokongan daripada rakan sepasukan di padang.

“Untuk lawan Chile, kita sudah tentu akan ubah sedikit corak permainan untuk kita keluar (beraksi) dan capai kemenangan dalam perlawanan kedua,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Birsa Munda, Rourkela di India itu, Belanda pasukan di ranking ketiga dunia, ternyata berada dalam kelas tersendiri menerusi kepantasan dan keupayaan teknikal dimiliki barisan pemain.

Penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman bertindak cemerlang menyelamatkan gawang daripada beberapa percubaan berbahaya Belanda sebelum akhirnya bolos selepas Thijs Van Dam meledak gol padang pada minit ke-20 selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan negara.

Empat minit berselang, gawang skuad bimbingan A Arul Selvaraj dibolosi kali kedua apabila Jip Janssen tenang menyempurnakan pukulan penalti selepas kekasaran dilakukan Muhammad Amirul Hamizan Azhar terhadap Jonas de Geus.

Artikel Berkaitan:

Malaysia berpeluang untuk merapatkan kedudukan, namun pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-28 berjaya ditepis penjaga gol Pirmin Blaak.

Ketika pasukan negara sedang memburu jaringan, Belanda bijak menghidu ruang dan peluang untuk melebarkan penguasaan selepas Teun Beins menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-48.

Kelalaian benteng pertahanan negara terus dihukum Belanda selepas Jorrit Croon mudah menolak bola masuk pada penghujung aksi sekali gus membantu pasukan meraih permulaan sempurna.

Malaysia, yang menghuni ranking ke-11 dunia, dijadual berdepan Chile (ke-22 dunia) Isnin ini di venue sama sebelum mengharungi aksi terakhir kumpulan menentang pasukan nombor sembilan dunia, New Zealand di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, Khamis depan.

Belanda kini menerajui carta Kumpulan C berkongsi tiga mata bersama New Zealand di tempat kedua selepas turut merakam kemenangan 3-1 ke atas Chile pada satu lagi aksi hari ini.


INFO
Juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.