'Saya tidak fikir parti akan berpecah' - Tengku Razaleigh

Tengku Razaleigh ketika ditemui petugas media selepas PAU 2022 pada Sabtu.
Tengku Razaleigh ketika ditemui petugas media selepas PAU 2022 pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan bahawa akan berlaku perbalahan parti sekiranya pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Ujar beliau, pemilihan jawatan yang dilakukan sebelum ini melibatkan ketua-ketua bahagian, jauh lebih kuat dan sengit kerana ia melibatkan ramai pengikut.

"Ini bukan keputusan PAU. Cuma nasihat sahaja, maknanya nak jaga supaya parti tidak berpecah.

"Saya tidak fikir akan berpecah. Kita lawan biasa antara ketua bahagian di semua peringkat lagi kuat.

"Masing-masing bawa pengikut mereka, lagi tabah," katanya kepada petugas media selepas PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Terdahulu, PAU 2022 yang bersidang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, usul tambahan itu lulus selepas disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang mengambil bahagian.

Dalam pada itu, ketika ditanya petugas media adakah keputusan tersebut dibuat berdasarkan suara demokrasi parti, Tengku Razaleigh berkata, parti itu masih lagi mengikut demokrasi.

Artikel Berkaitan:

"Ada demokrasi tetapi dikawal," ujarnya.

Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.

Ahmad Zahid menang jawatan Presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.

Beliau menewaskan pencabarnya termasuk Khairy dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh mendapat 23 undi.

Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pula menang dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.