PAU 2022: 'Tidak ada paksaan, ugutan atau sogokan dilakukan'

Ahmad Shabery ketika ditemui petugas media selepas PAU 2022 pada Sabtu.
Ahmad Shabery ketika ditemui petugas media selepas PAU 2022 pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak ada sebarang paksaan, ugutan atau sogokan yang dilakukan berhubung keputusan perwakilan untuk menyokong usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, keputusan itu dibuat setelah perwakilan mempertimbangkan segala hujah yang telah disampaikan.

"Yang jelasnya, lebih 90 peratus yang bangun berdiri untuk menyokong usul ini. Jadi apa nak kata lagi, ini merupakan suara orang ramai.

"Ada beberapa yang bangun untuk tidak bersetuju tetapi itu jumlah yang terlalu sedikit.

"Jadi demokrasi adalah suara majoriti dan suara majoriti telah diputuskan dalam Perhimpunan Agong UMNO (PAU) kali ini untuk menyokong usul supaya tidak mengadakan pertandingan (jawatan pimpinan) ini," katanya kepada petugas media selepas PAU 2022 pada Sabtu.

Terdahulu, PAU 2022 yang bersidang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, usul tambahan itu lulus selepas disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang mengambil bahagian.

Ia sekali gus menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing mengekalkan jawatan yang disandang mereka sebelum ini untuk tempoh dua tahun lagi.

Artikel Berkaitan:

Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.