Rafizi mahu tutup kelemahan diri - Pemuda Pas Selangor

Mohamed Sukri menyifatkan sindiran Rafizi terhadap Pas bertujuan menutup kelemahan diri yang masih gagal menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat.
Mohamed Sukri menyifatkan sindiran Rafizi terhadap Pas bertujuan menutup kelemahan diri yang masih gagal menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyifatkan sindiran Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap parti Islam itu semasa Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu bertujuan menutup kelemahan diri.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Pakatan Harapan (PH) khususnya Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dilihat semakin risau dengan gelombang sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) khasnya Pas.

Menurutnya, sokongan kepada PN khususnya oleh anak muda dilihat semakin baik berdasarkan maklum balas yang diterima di lapangan dan media sosial.

"Anak muda kecewa dengan Rafizi yang digelar 'raja formula' apabila gagal menyelesaikan masalah kos sara hidup yang dicanangkan.

"Tiada perancangan konkrit ke arah itu setakat ini," katanya mengulas ucapan Rafizi yang menyindir Pas berhubung keyakinan parti itu mampu merampas Selangor daripada kerajaan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mohamed Sukri berkata, peningkatan kos sara hidup yang berterusan amat membebankan rakyat khasnya anak muda dalam keadaan gaji yang tidak seberapa untuk menampung kenaikan tersebut.

"Bebanan rakyat juga semakin bertambah dengan bebanan bayaran ansuran rumah susulan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

"Justeru Rafizi perlu 'move on' dan jangan (memburukkan Pas) hanya untuk menutup kelemahan diri," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan menjadikan Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor sebagai medan menghentam Pas yang menyifatkan parti itu sebagai syok sendiri.

Dalam ucapannya, Rafizi berkata, Pas berasakan parti itu hebat kerana kononnya gelombang hijau kian 'tersebar' hinggakan mampu untuk merampas negeri itu daripada kerajaan PH Selangor.

Jelasnya, Pas tidak mampu untuk melakukan hal berkenaan kerana PH Selangor mempunyai resipi ampuh untuk mengekalkan kekuasaan mereka pada PRN akan datang.