‘Terima kasih perwakilan atas kepercayaan’

Ahmad Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena PAU 2022 di WTCKL pada Sabtu.
Ahmad Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena PAU 2022 di WTCKL pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada perwakilan kerana memberi kepercayaan kepadanya dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk terus menerajui parti.

Ujarnya, tekadnya kini adalah untuk terus memperkasakan parti supaya kekal relevan.

“Terima kasih perwakilan beri kepercayaan kepada saya dan Tok Mat. InsyaALLAH kami akan berganding bahu bagi membawa bahtera UMNO ke tempoh berikutnya.

‘Biarpun gelombang badai, kami berdua akan bawa bahtera UMNO untuk menuju ke pelabuhan,” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Terdahulu, PAU 2022 yang bersidang di Dewan Merdeka, WTCKL meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, usul tambahan itu lulus selepas disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang mengambil bahagian.

Ia sekali gus menyaksikan Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad masing-masing mengekalkan jawatan yang disandang mereka sebelum ini untuk tempoh dua tahun lagi.

Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid menang jawatan Presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.

Beliau menewaskan pencabarnya termasuk Khairy dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pula menang dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.