Hari suram kem Malaysia

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023. - Foto Bernama
Beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023. - Foto Bernama
A
A
A

SAINGAN separuh akhir kejohanan badminton berstatus Super 1000 - Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu berlangsung agak suram.

Ia berikutan tiada lagi kelibat wakil Malaysia apabila seorang demi seorang tumbang di hadapan penyokong sendiri bermula seawal pusingan pertama pada Selasa lalu.

Terbaharu, dua wakil - beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila langkah mereka tersekat di peringkat suku akhir pada Jumaat.

Keputusan itu nyata mengecewakan peminat badminton tempatan yang mengharapkan ada wakil Malaysia untuk layak sekurang-kurangnya di pentas separuh akhir.

Malah, prestasi longlai barisan pemain negara pada kejohanan kali ini yang dinaik taraf daripada Super 750 turut mengundang perhatian bekas jaguh beregu, Koo Kien Keat.

“Sepatutnya pemain-pemain negara mengambil peluang beraksi di tempat sendiri bagi memburu kejayaan kerana mereka mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

“Berbeza dengan beberapa tahun lalu, sokongan penyokong sekarang sudah berbeza, ketika (pemain negara) ketinggalan pun mereka tetap memberi sokongan padu.

“Jadi mereka (pemain negara) perlu mengambil peluang seperti ini, jadikan sokongan padu itu sebagai motivasi untuk mencipta kemenangan,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai status kejohanan yang baru dinaikkan tahun ini sehingga memberi tekanan kepada pemain, Kien Keat berkata: “Tak kira Super 1000, 750, 500 atau apa sekalipun, pemain itu harus mempunyai watak juara.

“Jika mahu layak (ke Sukan Olimpik), mereka perlu buru kejuaraan tidak kira berstatus 100, 500, 750, 1000 kerana juara sebenar boleh menang dengan sesiapa sahaja,” ujarnya.

Malah, Kien Keat berkata, setiap pemain juga perlu menjadikan hadiah wang kemenangan yang meningkat dua hingga tiga kali ganda sebagai motivasi mencipta kejayaan.

“Berdasarkan situasi yang berlaku pada kejohanan kali ini, saya rasa pemain-pemain perlu mengubah mentaliti mereka untuk menjadi seorang juara,” jelasnya.