JPN jamin isu MyKid selesai enam bulan lagi

Ruslin
Ruslin
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah perolehan bekalan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid) dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, isu kekurangan bekalan MyKid itu berlaku sejak pandemik Covid-19 tiga tahun lalu kerana penggunaan mikrocip turut mendapat permintaan di peringkat global termasuk penggunaan tinggi dalam bidang automotif.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah pemohon yang masih belum mendapat MyKid tidak ramai dan akan membuat penangguhan sementara pengeluaran MyKid sehingga bekalan itu diperolehi sebelum diserahkan kepada penerima secara berperingkat.

"Proses (permohonan) akan berterusan, setelah perolehan baharu bekalan mikrocip, kita akan serahkan secara berperingkat.

"Semua ibu bapa diharapkan sabar dan kita dalam proses perolehan baharu dan cuba akan selesaikan dalam tempoh enam bulan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan MyKad kepada pemohon orang kurang upaya di bawah Program Mekar Ehsan JPN Melaka di Bukit Godek, Semabok di sini pada Sabtu.

Hadi sama, Pengarah JPN Melaka, Norazalee Sulaiman.

Jelas beliau, semua agensi kerajaan mahupun swasta seharusnya menerima penggunaan sijil kelahiran bagi ibu bapa yang berurusan dengan pihak mereka terutama yang masih menunggu kelulusan permohonan MyKid.

Menurutnya, ia adalah dokumen yang sah dan dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berkenaan disarankan mengguna pakai sijil kelahiran anak sebagai pengganti atau dokumen pengenalan diri.

Artikel Berkaitan:

"JPN menyeru kepada semua agensi kerajaan dan swasta supaya menerima sijil kelahiran untuk sebarang urusan kanak-kanak, sama ada kegunaan sekolah atau pusat kesihatan.

"Selain MyKid, sijil kelahiran juga dokumen sah dikeluarkan kerajaan dan JPN sedang berusaha mempercepatkan proses ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!