PAU 2022: UMNO bukan lagi pilihan utama Melayu

Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO perlu menerima hakikat bahawa parti ini telah ditolak orang Melayu dan kini bukan lagi menjadi pilihan utama mereka.

Perwakilan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia dibuktikan apabila UMNO tidak lagi menjadi Melayu yang berjaya memenangi kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sedangkan katanya, UMNO adalah parti yang memodenkan orang Melayu, membawa mereka keluar dari kawasan kampung dan luar bandar untuk menikmati pilihan hidup yang lebih baik.

“Namun, sehingga kini, kita masih tidak berupaya untuk menambat hati orang Melayu di bandar. Suka atau tidak, kita bukan parti Melayu dengan kemenangan kerusi terbanyak. Yang di luar bandar, sudah mula menolak kita. Yang di bandar, sudah lama meninggalkan kita.

Fadzli Mohamad Kamal
Fadzli Mohamad Kamal

“Orang Melayu sudah tidak melihat wujud sebarang ikatan istimewa dan intim dengan UMNO. Lebih cepat kita terima hakikat ini, lebih baik untuk kita.

“PRU15 telah menjadi satu petunjuk yang jelas dan tegas. Ada beberapa realiti tentang hubungan UMNO dan orang Melayu yang perlu kita sedar dan terima,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Selain itu, Fadzli yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub berkata, kemunculan parti yang membawa naratif sama juga turut menjadi faktor UMNO yang merupakan parti terbesar Melayu itu semakin ditolak.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bukan itu sahaja parti-parti tersebut juga ‘melancar’ pelbagai gerakan untuk menjatuhkan sekali gus menjadi pengganti kepada UMNO.

“Ada yang mahu membenam UMNO. Ada yang mahu menguburkan kita. Ini bermakna, UMNO mempunyai pesaing yang bukan sahaja semakin besar, tetapi semakin pelbagai,” katanya.

Justeru katanya, UMNO mesti segera sedar untuk membina semula kepercayaan orang Melayu terhadap parti ini.

“Ramai orang Melayu di luar sana yang sudah membayangkan masa depan mereka, tanpa UMNO. Ramai orang Melayu yang semakin percaya, bahawa mereka tidak perlukan UMNO, untuk mewakili mereka,” katanya.