Pencarian kru kapal jatuh laut ditamatkan

Op Carilamat kru kapal jatuh laut ditamatkan pada jam 11.30 malam, Jumaat.
Op Carilamat kru kapal jatuh laut ditamatkan pada jam 11.30 malam, Jumaat.
A
A
A

KLANG - Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan seorang kru kapal FV Shuenn Man No 23 yang terjatuh di laut sekitar perairan Pulau Ketam pada Selasa ditamatkan pada jam 11.30 malam Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pangkalan hadapan Carilamat di Jeti Maritim Selangor turut dibubarkan.

"Mangsa masih belum ditemui setelah hari keempat Op Carilamat, kita akan meneruskan operasi itu sekiranya menemui petunjuk baharu.

"Pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh aset-aset yang beroperasi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Siva Kumar berkata, keseluruhan keluasan pencarian adalah 159.36 batu nautika persegi iaitu di perairan Selangor berdekatan sempadan Malaysia - Indonesia.

"Maklumat juga telah disalurkan kepada pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) bagi pencarian di Perairan Indonesia kerana kemungkinan mangsa hanyut di perairan negara berkenaan," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa Syaefullah, 27, seorang lelaki warga Indonesia dikatakan terjatuh ke dalam laut kira-kira jam 10.57 pagi dan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.

Mangsa dilihat kali terakhir memakai baju berwarna hijau gelap sebelum dilaporkan hilang di laut.

Artikel Berkaitan: