Dua kes maut dipijak gajah mungkin kumpulan sama

PKGK berjaya menangkap dan memindahkan 33 gajah liar pada tahun lalu. - Foto ihsan PKGK
PKGK berjaya menangkap dan memindahkan 33 gajah liar pada tahun lalu. - Foto ihsan PKGK
A
A
A

TEMERLOH - Gajah jantan yang menyerang remaja Orang Asli di Kampung Tual, Pos Senderut, pada Isnin berkemungkinan daripada kumpulan sama yang memijak wanita Orang Asli Kampung Simoi Baru, Pos Betau pada 6 Disember lalu.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, haiwan liar tersebut terpisah daripada kumpulan dan bertindak menceroboh beberapa kampung dan memusnahkan kebun pisang penduduk.

"Kita berharap masyarakat Orang Asli di Pos Senderut dan Pos Betau serta beberapa kampung lain berhati-hati dengan ancaman gajah jantan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," kata beliau ketika dihubungi pada Jumaat.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, PKGK turut terbabit dalam operasi menangkap gajah jantan yang menyerang hingga menyebabkan kematian remaja Orang Asli, Andy Yok Manin, 15, di Kampung Tual, Pos Sinderut pada Isnin.

Dalam kejadian tersebut, remaja itu bersama abangnya dan seorang rakan di dalam hutan mencari petai sebelum kelibat haiwan liar itu muncul di hadapan mereka dan menyerang mangsa.

Dalam pada itu, Che Ku Mohd Zamzuri juga memberitahu, PKGK berjaya menangkap dan memindahkan 33 gajah liar di enam negeri pada tahun lalu.

Ujar beliau, tangkapan paling terbanyak dicatatkan di Kelantan iaitu 17 ekor diikuti tiga ekor di Perak, Kedah (dua) serta seekor Terengganu.

"Bagi tahun 2021 pula, sebanyak 73 ekor gajah berjaya ditangkap dan dipindahkan iaitu Kelantan, 25 ekor diikuti Pahang (18), Johor (10), Kedah (lapan) dan enam ekor di Perak dan Terengganu," jelas Che Ku Mohd Zamzuri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya menerima aduan ancaman gajah liar hampir setiap bulan, namun tidak semua aduan berakhir dengan operasi mengesan, seterusnya menangkap haiwan terbabit.

"Ancaman gajah banyak berlaku di negeri-negeri terbabit dan pembukaan hutan berskala besar menjadi faktor utama haiwan itu menceroboh ke kawasan ladang, kebun dan penempatan berhampiran hutan.

"Pelbagai usaha terpaksa dilakukan untuk menghalang gajah daripada terus menceroboh. Kaedah kawalan secara berterusan, pagar elektrik dan membina parit besar terpaksa digunakan," jelas beliau.

Jelas beliau, terdapat kes PKGK hanya bertindak menghalau kumpulan haiwan liar tersebut masuk ke hutan berhampiran, seterusnya membuat pemantauan selama beberapa hari di kawasan berkenaan.

"Operasi menangkap dan memindahkan gajah liar dilakukan terutama apabila haiwan terbabit mengancam manusia dan memusnahkan tanaman seperti pokok buah-buahan, kelapa sawit dan nangka," ujar beliau.